PPM Sandakan rampas 9,516 kotak produk perubatan tradisional RM47,000

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali (tiga dari kiri) menunjukkan produk tradisional yang dirampas. Gambar Ihsan PPM Sandakan

SANDAKAN, 16 Mei – Sebanyak 9,516 kotak produk perubatan tradisional yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia yang disyaki mengandungi racun berjadual bernilai RM47,580 dirampas oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata, antara yang dirampas dalam Operasi Landai, yang dijalankan hasil maklumat risikan Unit Risikan Marin (URM), bermula 10 pagi semalam itu adalah ubat-ubatan tradisional Cina.

Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan menemui beberapa beg berisi pelbagai barangan tradisional buatan negara China di dalam sebuah lori. Gambar PPM Sandakan

“Semua bahan terlarang itu dirampas dalam satu serbuan di daerah ini, membabitkan sebuah lori jenis Isuzu di tepi jalan kawasan Hsiang Garden, Bandar Ramai-Ramai dekat sini.

“Turut ditahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 36, dan 63 tahun ketika sedang sibuk memunggah ubat-ubatan ke dalam lori tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Pajeri berkata suspek disyaki pemilik ubat-ubatan berjenama ‘Lin-Zi Chongsuntan’, ‘Lin-Zi Chuang-Yao Wan’, ‘Senchow Tan’ dan ‘Ginseng Jin Fui Wan’.

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan beberapa pihak lagi yang dipercayai terbabit dan menyimpan produk yang disyaki mengandungi racun.

Kedua-dua suspek ditahan ketika sedang leka memunggah produk tradisional buatan negara China ke dalam sebuah lori. Gambar Ihsan PPM Sandakan

“Kami percaya kegiatan itu dijalankan sindiket yang menyimpan serta mengedar kepada peniaga, bukan sahaja di Sandakan, malah beberapa daerah lain sekitarnya,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Akta Farmasi 1951 iaitu pelanggaran Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang menjadi kesalahan di bawah Peraturan 30 (1) peraturan yang sama.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan denda maksimum RM25,000 yang diperuntukkan di bawah Seksyen 12 (1) Akta Jualan Dadah 1952.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *