Suami pujuk ‘makan’ dadah

Pegawai dan anggota AADK menjalankan pemeriksaan ke atas individu yang disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah di Inanam. Foto Junaidi Ladjana

Tekanan hidup, pengaruh suami dan rakan menjadi punca empat wanita termasuk dua yang masih bujang terjerumus ke kancah penagihan dadah.

Keempat-empat wanita berusia 23, 25, 31 dan 43 tahun itu ditahan di tiga penginapan di Inanam Business Centre, berhadapan Terminal Inanam, Kota Kinabalu, Sabah, oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kota Kinabalu dalam Operasi Cegah jam 10 malam tadi.

Operasi berakhir 3 pagi itu turut menahan seramai 11 lelaki di beberapa kampung di Likas, Inanam dan Manggatal.

Ketua Pegawai AADK Kota Kinabalu, Lawrence Galleh berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati keempat-empat wanita terbabit positif dadah jenis syabu.

“Ketika disoal siasat, salah seorang wanita yang juga pemilik rumah penginapan itu bersama anak saudaranya mengaku menghisap syabu kerana tekanan.

“Seorang lagi wanita yang ditahan bersama teman lelakinya di dalam bilik penginapan itu mengaku mengambil dadah kerana terpengaruh dengan rakan.

“Manakala seorang lagi mengaku mengambil syabu kerana terpengaruh ajakan suaminya sejak dua bulan lalu,” katanya ketika ditemui selepas selesai operasi itu.

Menurutnya, dalam operasi yang sama, anggota AADK turut menahan seramai 11 lelaki termasuk seorang suspek mempunyai rekod waran tangkap.

“Semua suspek berusia 19 hingga 50 tahun juga didapati positif dadah jenis syabu.

“Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Terdahulu, Operasi Cegah Siri – 15 membabitkan seramai sembilan anggota termasuk pegawai AADK Kota Kinabalu. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *