Penduduk hulur air mineral untuk bomba berbuka puasa ketika operasi

PASUKAN bomba memadam kebakaran di Kampung Padas Tebobon, Manggatal, Kota Kinabalu. – Foto Ihsan Bomba.

KOTA KINABALU: Hanya air mineral sebagai juadah berbuka puasa oleh sepasukan bomba yang menjalankan operasi memadam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Padas, Tebobon, Manggatal, di sini, petang tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Sabah Mohd Affendy K Ramin berkata, sebaik menerima panggilan kebakaran jam 6.04 petang, seramai 23 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan Kota Kinabalu digerakkan menggunakan dua jentera, dua jentera Emergency Medical Rescue Service (EMRS) dan sebuah water tanker.

Makanan yang disediakan kepada pasukan bomba yang bertugas memadam kebakaran

“Sebaik tiba di lokasi kejadian jam 6.25 petang, beberapa penduduk kampung sempat menghulurkan beberapa botol mineral air untuk anggota minum kerana ketika itu waktu berbuka puasa.

“Manakala beberapa anggota lain pula terus bertindak memadam kebakaran daripada merebak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, api berjaya dikawal daripada merebak jam 6.36 petang dan kebakaran hanya membabitkan sebuah rumah yang musnah sepenuhnya.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi tamat jam 7.42 malam,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *