Tiga Rumah Musnah Dalam Kebakaran Di Kudat

Tiga rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Tanjung Kapur, Kudat semalam. FOTO Ihsan Bomba

Dugaan Ramadan

“SEBAK dan sedih apabila melihat rumah musnah terbakar tetapi kami reda jika ia sudah ditakdirkan,” kata Harum Noor Santan, 34.

Rumah Harum di Kampung Tanjung Kapur, Kudat antara tiga rumah yang musnah dalam kebakaran 1 tengah hari semalam.

Dia yang bekerja sebagai pekerja am di sebuah sekolah berhampiran berkata, sebaik dimaklumkan ahli keluarga berhubung kebakaran itu, dia bergegas pulang selepas mendapat kebenaran daripada pihak sekolah.

“Sebaik tiba, saya lihat tiada apa terselamat dan persiapan menyambut Aidilfitri musnah.

“Syukur satu-satunya yang mampu membuatkan saya tenang ketika itu adalah suami dan tiga anak terselamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Harum berkata, rumahnya terletak di bahagian tengah, sebelah kiri rumahnya tidak berpenghuni manakala sebelah kanan pula rumah saudara yang dihuni 12 orang.

“Saya dimaklumkan penduduk kampung, api bermula dari rumah tidak berpenghuni terbabit yang kerap menjadi lokasi sekumpulan individu melepak.

“Saya pernah melihat sekumpulan individu itu menghidu gam, walaupun ditegur berkali-kali, mereka tetap berdegil malah tilam dalam rumah itu pernah terbakar sebelum ini namun sempat dipadamkan penduduk.

“Rumah saudara saya pula turut menanggung kerugian besar apabila dapur yang menyimpan kuih-muih yang baru selesai dimasak untuk dijual terbakar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kudat, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 1.02 tengah hari dan segera menghantar sembilan anggota bersama dua jentera ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati tiga rumah jenis tidak kekal di atas air terbakar sepenuhnya dan segera menjalankan operasi pemadaman api.

“Tiada kecederaan berlaku dan api berjaya dipadam sepenuhnya pada 1.46 tengah hari,” katanya.

Ishak berkata, operasi turut dibantu 15 Pegawai Bomba Bantuan (PBB) dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Kampung Ayer manakala punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *