Tiada lagi sapaan ibu ketika Ramadan

DUZAIMI menerima sumbangan ketika majlis berbuka puasa. FOTO Norasikin DainehNorasikin Daineh

KEHILANGAN ibu tersayang akibat kanser payudara, tahun lalu menyebabkan ramadan dilalui Duzaimi Zainal, 17, kali ini bertambah suram.

Duzaimi antara 20 anak yatim piatu dari Rumah Anak Yatim Tambunan yang diraikan dalam majlis berbuka puasa di hotel di Kota Kinabalu, semalam.

Menurut Duzaimi, kehilangan ibu tersayang semakin dirasai apabila dia menyambut Ramadan tanpa sapaan daripada ibunya setiap kali berbuka puasa atau bersahur.

“Biasanya ibu akan datang menjenguk saya di sini selain sering menghubungi saya untuk bertanyakan khabar.

“Tapi kali ini sedih dan sekarang bertambah sunyi… Tiada sudah (ibu) bertanya, sama ada saya sudah bersahur atau sudah berbuka puasa,” katanya yang pertama kali diraikan berbuka puasa di hotel itu.

Sebelum itu, Duzaimi berkata, dia diserahkan ke rumah anak yatim itu ketika berusia 12 tahun selepas bapanya meninggal dunia pada 2011 dan ketika itu tiada siapa yang dapat menjaganya berikutan keadaan ibunya yang tidak sihat manakala kakak dan abangnya yang lain sudah berkahwin.

“Bapa meninggal dunia ketika saya berusia 11 tahun akibat pembuluh darah pecah, manakala semua adik beradik sudah berkeluarga dan ibu pula disahkan menghidap kanser payudara sebelum meninggal dunia pada tahun lalu.

“Ibu hantar saya ke Rumah Anak Yatim ini kerana mahu saya mendapat pendidikan yang lebih baik serta tidak keciciran dalam pelajaran,” katanya yang berasal dari Pulau Sebatik, Tawau.

Duzaimi dalam pada itu berkata, dia bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berharap dapat merealisasikan impian arwah ibunya untuk mendapat keputusan cemerlang.

“Arwah ibu mahu saya cemerlang dalam pelajaran dan saya harap dapat menunaikan harapannya dalam SPM nanti,” katanya.

MD Iqhzas Shahril. FOTO Norasikin Daineh

Sementara itu, seorang lagi anak yatim, Md Iqhzas Shahril, 17, berkata, sambutan Ramadan kali ini disambut sederhana seperti tahun sebelumnya.

“Selepas ibu meninggal dunia pada 2012 akibat kanser perut, kami lima beradik hanya bersederhana setiap kali menyambut ramadan.

“Bapa kami tidak diketahui di mana berada selepas mereka bercerai tujuh tahun lalu, jadi perasaan menyambut ramadan tidak dirasai sangat kerana tiada keluarga yang sempurna seperti orang lain,” katanya. – Harian Metro

20 anak yatim dari Rumah Anak Yatim Tambunan diraikan dalam majlis berbuka puasa. FOTO Norasikin Daineh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *