PRK Sandakan: 12 peratus keluar mengundi sehingga 9 pagi – SPR

SANDAKAN, 11 Mei – Pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan bermula sebaik sahaja 19 pusat mengundi melibatkan 90 saluran dibuka pada pukul 7.30 pagi ini.

Proses mengundi yang berlangsung selama sembilan jam setengah itu melibatkan seramai 39,684 pengundi biasa yang layak mengundi sebelum proses pengundian ditutup pada 5 petang ini.

Pusat penjumlahan undi akan diadakan di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua di sini.

PRK Parlimen Sandakan menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Vivian Wong Shir Yee, yang menggunakan lambang DAP; calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon Bebas iaitu bekas pengasas Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah, Hamzah Abdullah; ahli perniagaan Chia Siew Yung dan bekas pegawai tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Samat.

Ia diadakan susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

Berikut adalah perkembangan terkini mengenai PRK Sandakan:

11.00 pagi: Peratusan keluar mengundi sehingga 11 pagi ialah 27 peratus – SPR

10.00 pagi: Peratusan keluar mengundi sehingga 10 pagi ialah 20 peratus – Pengerusi SPR

9.52 pagi: Cuaca cerah membolehkan semakin ramai pengundi keluar termasuk warga emas menunaikan tanggungjawab setakat 9.52 pagi ini di SK Tanjung Papat 1 dan 2.

9.43 pagi: Calon Bebas Sulaiman Abdul Samat tiba untuk mengundi di pusat mengundi SK Muhibbah.

9.26 pagi: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah tiba di pusat mengundi SK Sri Tanjung Papat 1 dan 2 bagi meninjau keadaan proses mengundi.

9.07 pagi: Ibu calon DAP, Datin Florence Chong mengundi di SMK Muhibbah.

9.00 pagi: Peratusan keluar mengundi ialah 12 peratus. – Pengerusi SPR

8.30 pagi: Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun, Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom dan Setiausaha SPR Datuk Mohamed Elias Abu Bakar tiba untuk meninjau pusat mengundi SK Sri Tanjung Papat 1.

8.25 pagi: Calon Bebas Chia Siew Yung tiba untuk meninjau pusat mengundi SK Muhibbah.

8.08 pagi: Calon DAP bagi #prksandakan Vivian Wong Shir Yee tiba di pusat mengundi SK Muhibbah untuk mengundi.

8.00 pagi: Calon Bebas Chia Siew Yung mengundi di SK Sungai Anib 1.

7.30 pagi: Petugas SPR menggunakan ‘buggy’ untuk membawa pengundi warga emas 

7.30 pagi : Seramai 136 anggota polis ditugaskan di 19 pusat mengundi – KPD Sandakan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *