Penantian penduduk lima kampung di Tongod berakhir apabila terima geran hak milik tanah

Salah seorang wakil penduduk menerima geran Anak Negeri yang disampaikan Ketua Menteri.

KINABATANGAN: Penantian sekian lama penduduk di lima kampung di Tongod untuk memiliki tanah sendiri berakhir apabila mereka menerima geran individu ‘Native Title’ yang disampaikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Tongod dekat sini, hari ini.

Penduduk kampung terlibat adalah di Pinangah, Kironggu, Entilibon, Kitumbalang dan Telibon menerima 60 keping geran tanah yang diagihkan oleh Mohd Shafie buat pertama kalinya sejak beliau mengetuai kerajaan negeri Sabah yang baharu.

“Saya  belum memberi tanah kepada rakyat di Semporna tetapi buat pertama kali sebagai Ketua Menteri, saya memberi tanah kepada rakyat di Tongod ini.

“Inilah usaha kita dalam menunaikan janji yang telah kita buat pada pilihan raya yang lepas,” katanya pada majlis perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Dewan Undangan Negeri(DUN)  Kuamut di Tongod dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan penerima geran itu untuk tidak menjual tanah tersebut kerana ia adalah harta warisan keluarga dan generasi akan datang.

Sebaliknya, katanya, mereka perlu membangun dan memajukan tanah tersebut untuk manfaat masing-masing.

Mohd Shafie berkata kerajaan sentiasa peka untuk membantu rakyat menerusi pelbagai pendekatan antaranya pemberian tanah individu ini.

“Saya tidak mahu menjadi seorang Ketua Menteri kaya raya tetapi rakyat miskin papa kedana. Saya tidak berbangga jika rakyat hidup dalam kesusahan sehingga kadang-kadang ada yang tidak cukup makan.

“Kejayaan sebenar seorang pemimpin tidak terletak pada harta yang banyak, pada duit berjuta-juta yang ada di dalam bank. Kekayaan perlu dikongsi bersama rakyat,” katanya.

Turut hadir, Anggota DUN Datuk Masiung Banah, Pegawai Daerah Tongod Rashid Abdul Harun dan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah Datuk Safar Untong.

— BERNAMA

Penduduk Tongod datang beramai-ramai menyambut ketibaan Ketua Menteri ke daerah itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *