KPDNHEP Sabah sita pelbagai barangan bernilai RM2.2 juta

Ravichandran Vadivellu menunjukkan telefon tiruan, tablet serta aksesori yang dirampas hasil serbuan ke atas tiga premis di Kota Kinabalu pada Januri lalu.

KOTA KINBALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah menyita pelbagai barangan  bernilai RM2.2 juta berikutan kesalahan dilakukan peniaga sepanjang tahun ini.

Timbalan Pengarah KPDNHEP Sabah merangkap Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, V Ravichandran  berkata kutipan denda yang diperolehi pula sebanyak RM65,000 serta RM138,300 kompaun setakat semalam.

Beliau berkata KPDNHEP Sabah juga telah melakukan pemeriksaan ke atas 16,454 premis perniagaan di seluruh negeri selain pemeriksaan diperingkat penjual, peruncit, pemborong dan pembekal.

“Kita turut mengambil tindakan undang-undang ke atas 748 peniaga ekoran melakukan kesalahan serta melanggar akta di bawah kementerian.

“Selain itu, kita memerima sebanyak 521 aduan di seluruh negeri dan menerusi jumlah ini, sebanyak 485 aduan sudah selesai disiasat manakala 36 aduan lagi masih dalam siasatan.

“Antara aduan yang kita perolehi termasuklah berkaitan makanan serta minuman mahal dan terdapat penjualan barangan tiruan,” katanya kepada pemberita selepas selepas Program Pemeriksaan Bazar Ramadan 2019 di Lintasan Deasoka, di sini semalam.

Turut serta Ketua Penolong Pegawai Kesihatab Persekitaran Kawasan Kota Kinabalu, Mohmad Sha Harun dan Pegawai Kesihatan Persekitaran Kota Kinabalu, Moizin Tikuson.

Dilaksanakan bermula 7 Mei sehingga 4 Jun hadapan, terdapat sebanyak 88 tapak bazar Ramadan di seluruh negeri yang diluluskan kerajaan dan penguatkuasa tempatan utk dijadikan tapak bazar ramadan untuk tahun ini.

Dalam pada itu, Ravichandran berkata masih ramai peniaga di negeri berkenaan mematuhi undang-undang ditetapkan kementerian dan berharap momentum terbabit dapat dikekalkan sepanjang masa agar pengguna bdapat menyambut musim perayaan dalam suasana meriah tetapi tidak membebankan.

Sementara itu, Mohamad Sha menyatakan Ops Bazar Ramadan disertai bersama KPDNHEP Sabah itu bertujuan bagi memantau tahap kebersihan di bazar Ramadan pada tahun ini.

Katanya beberapa peniaga membabitkan kira-kira 40 gerai di Lintasan Deasoka ini sudah diberikan amaran atas kesalahan pemakaian pelindungan kurang lengkap atau tidak sempurna. 

Jelasnya pihak kesihatan telah meminta peniaga memakai perlindungan lengkapbertujuan melindungi makanan dan minuman yang dijual daripada pencemaran selain kejadian penyakit berjangkit melalui makanan.

Menurutnya tiada notis kompaun dikeluarkan semasa pemeriksaan itu kerana ramai peniaga mempunyai suntikan, mengikuti kursus dan memiliki pakaian perlindungan. – SabahNews Today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *