APMM Kudat tahan lima nelayan asing, rampas gamat lebih 800 kilogram

Nelayan asing yang ditahan pihak berkuasa di perairan negara untuk mendapatkan gamat. – Gambar APMM Kudat

KUDAT, 10 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat menahan lima nelayan Vietnam kerana disyaki menangkap gamat secara haram di perairan daerah ini dan merampas hasil laut itu yang dianggarkan lebih 800 kilogram, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, kesemua nelayan berumur dalam lingkungan 23 hingga 43 tahun itu ditahan bersama bot digunakan mereka di kedudukan kira-kira tujuh batu nautika Timur Pulau Sibogor Laut, Pulau Banggi, di sini, pada 10 pagi semalam.

APMM menunjukkan gamat yang dirampas. – Gambar APMM Kudat

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot itu bukan bot berpendaftaran Malaysia dan kesemua nelayan terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri sah.

“Bot ini sememangnya digunakan untuk menangguk gamat. Bot terbabit tidak mempunyai pukat tetapi menggunakan sejenis alat seperti penggembur tanah bagi menangguk gamat. Kawasan perairan kita sememangnya banyak gamat dan tidak mustahil masih ada bot seperti ini menjarah hasil laut kita.

Nelayan asing yang ditahan anggota APMM kerana menceroboh perairan negara untuk mendapatkan gamat. – Gambar APMM Kudat

“Kaedah digunakan perompak hasil laut negara ini adalah dilarang kerana ia memberi kesan jangka panjang pada sistem ekologi dan biodiversiti marin. Penggunaan tangguk besi merosakkan batu karang yang merupakan habitat bagi hidupan marin. Ada sesetengah batu karang memerlukan puluhan, malah ratusan tahun untuk membesar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Boon berkata nilai barangan rampasan termasuk bot serta hasil tangkapan gamat dianggarkan bernilai RM355,000, dan kesemua nelayan serta bot mereka telah dibawa ke Jeti Awam Kudat untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana disyaki menangkap ikan di perairan Malaysia secara haram dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah.

Orang ramai dinasihatkan menghubungi MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kudat di talian 088-611858 jika mempunyai sebarang maklumat berhubung jenayah atau kejadian kemalangan berlaku di perairan negara, katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *