Pengetua madrasah di penjara tiga tahun melakukan kelucahan melampau

Maznan Omar, 37,  didapati bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

TAWAU, 7 Mei – Seorang pengetua madrasah dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret Tawau hari ini, atas tiga pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap tiga pelajarnya pada tahun 2016.

Majistret Ferhansha Farene Mohd Ferdaus menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Maznan Omar, 37,  didapati bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Majistret memerintahkan hukuman tertuduh itu dilaksanakan secara berasingan bermula hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Muhammad Fitri Wan Azizan yang turut mahu tertuduh dikenakan hukuman serius bagi setiap pertuduhan serta dilaksanakan secara berasingan sebagai pengajaran kepada orang awam lain.

Selain itu, Wan Muhammad Fitri berkata antara faktor hukuman serius perlu dikenakan terhadap tertuduh termasuk mengambil kira usia mangsa yang terlibat masih muda serta hubungan antara pelajar dan pengetua dengan sepatutnya tertuduh melindungi kesemua mangsa.

“Status tertuduh juga perlu dilihat sebagai seorang yang luas dalam agama sepatutnya tahu perbuatan yang dilakukan tersebut itu songsang, dan dilakukan dengan kanak-kanak lelaki, tertuduh merupakan seorang pedofilia,” katanya lagi dan sepanjang kes terbabit dibicarakan tujuh saksi telah dipanggil ke mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua dan ketua, tertuduh didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap tiga pelajar lelaki berusia antara 14 hingga 15 tahun (pada tahun 2016) di sebuah rumah di Bandar Sri Indah, Tawau antara jam 11 pagi hingga 10.20 malam pada Jun 2016.

Kes itu didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh  dipenjara maksimum dua tahun

Dalam pada itu Peguambela kes Darmin Acho memohon mahkamah menangguhkan hukuman berkenaan namun Pendakwa Raya membantah ekoran hukuman yang dijatuhkan tidak melibakan sebatan.

Ferhansha kemudian tidak membenarkan hukuman itu ditangguh.

–BERNAMA

618