MKN Sabah hantar balik 192 PATI warganegara Filipina

Antara Pendatang Asing Tanpa Izin Filipina Yang Dihantar Pulang Ke Negara Asal
melalui Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga Filipina

SANDAKAN, 7 Mei – Majlis Keselamatan Negara (MKN), Negeri Sabah terus melaksanakan proses penghantaran pulang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke negara asal dan hari ini membabitkan 192 tahanan warganegara Filipina melalui Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga Filipina.

Pengarahnya Sh. Sitti Saleha Habib Yussof berkata daripada  jumlah tersebut 156 adalah lelaki dewasa, 29 perempuan dewasa dan  tujuh  kanak-kanak.

PATI yang dihantar balik itu berumur di antara setahun hingga 70 tahun, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya pada Khamis ini, MKN Negeri Sabah akan menghantar pulang seramai 106 tahanan warganegara Indonesia melalui Pelabuhan Tawau ke Nunukan, Indonesia.

Beliau berkata proses penghantaran balik PATI ke negara asal mereka adalah merupakan komitmen berterusan kerajaan dalam menangani masalah kemasukan PATI ke negeri ini.

Katanya selain melaksanakan pengusiran PATI, kerajaan juga telah mengambil tindakan yang proaktif di dalam usaha mengesan dan menangkap PATI.

Ini dilakukan menerusi pelbagai operasi bersepadu yang dikelolakan oleh MKN, Jabatan Imigresen, Polis, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Sh. Sitti Saleha berkata jumlah PATI diusir dan termasuk yang pulang secara sukarela sejak 1990 hingga hari ini telah mencecah seramai 582,139 orang.

Jumlah PATI yang telah diusir pada tahun lepas adalah seramai 13,479 orang, manakala pengusiran PATI ke negara asal yang dikendalikan oleh MKN Negeri Sabah sejak Januari hingga hari ini adalah seramai 4,638 orang, katanya.

 Beliau berkata ini termasuk 90 PATI yang diusir melalui lapangan terbang ke negara asal oleh Jabatan Imigresen.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *