WARISAN tak mahu ulangi kesilapan parti terdahulu

MOHD Shafie bersama perwakilan parti Warisan seluruh negeri pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan Sabah di Bangunan Kebudayaan Penampang. – Foto BERNAMA

PENAMPANG: Parti Warisan Sabah (WARISAN) tidak mahu pemimpinnya mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan pemimpin parti pemerintah sebelum ini yang menjadi punca kemarahan rakyat sehingga akhirnya tumbang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata kesilapan yang dilakukan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu dijadikan pengajaran.

Beliau berkata, parti terbabit yang pernah menerajui kerajaan negeri ditumbangkan rakyat akibat sikap pemimpinnya yang mengamalkan budaya negatif dengan mengutamakan jawatan, pangkat dan projek untuk kepentingan peribadi.

“Kita tidak mahu budaya dan nilai yang diamalkan kerajaan terdahulu berada dalam WARISAN. Budaya mengutamakan projek, pangkat dan jawatan, bukan perkhidmatan kepada rakyat.

“Dalam WARISAN kita harus ada keikhlasan, setiap ahli perlu memiliki nilai ini. Kita tidak mahu ada ahli yang menyimpan niat mahu menjadi ketua supaya selepas itu boleh minta pangkat dan projek,” katanya.

Beliau yang juga Presiden WARISAN berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan WARISAN, iaitu mesyuarat agung pertama parti itu selepas menjadi kerajaan di Pusat Kebudayaan Sabah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Naib Presiden WARISAN, Datuk Jaujan Sambakong dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Timbalan Presiden WARISAN, Datuk Darell Leiking.

Mohd Shafie turut mengingatkan pemimpin parti itu supaya tidak memberikan pelbagai alasan dalam menunaikan harapan rakyat yang mengundi untuk mengubah kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Rakyat melihat apa langkah yang kita lakukan dan mereka akan menilai serta membuat keputusan pada pilihan raya akan datang. Jadi, jangan lupa ini kerana rakyat akan menghukum kalau kita lupa,” katanya.

Beliau berkata, WARISAN yang membentuk kerajaan negeri dengan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) melaksanakan pelbagai perubahan bagi mengubah budaya kerajaan terdahulu.

Katanya, ia termasuk dalam sektor perkhidmatan awam dengan menekankan cara kerja baharu yang lebih cekap dan memudahkan banyak perkara berkaitan kepentingan rakyat dan kemajuan negeri.

“Kita tidak mahu lagi ada budaya lupa kerja seperti fail hanya diletakkan saja di atas meja hingga berminggu, berbulan dan malah bertahun tidak selesai. Contohnya, pembinaan Hotel Hyatt yang baharu di Kota Kinabalu, permohonannya 10 tahun lalu tetapi tiada jawapan.

“Kita mengambil tindakan dan minta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengatasinya, tidak perlu mengambil masa lama. Kita perlu percepatkan proses membabitkan pelaburan kerana ia dapat menjana ekonomi dan peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata WARISAN dan kerajaan negeri terus komited menuntut hak negeri yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk membentangkan sekali lagi usul pindaan Perlembagaan Persekutuan yang gagal sebelum ini. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *