Polis tahan pemandu lori bantu siasatan kemalangan maut di Tawau

Gambar BES TAWAUFM

TAWAU, 5 Mei – Polis menahan seorang pemandu lori berhubung kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori satu tan yang mengakibatkan seorang lelaki maut dalam kejadian di Batu 15 Jalan Quion Hill, dekat sini pada Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Supt Nor Azizulkifli Mansor berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan pada hari sama kejadian bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati pada 1.20 petang mangsa Mohamed Nor Ayub, 58, seorang peniaga di kantin Sekolah Kebangsaan Serudong Baru, memandu Proton Saga bersama tiga penumpang iaitu isteri, 57, serta anak perempuan, 21, dan cucu perempuan berumur tujuh tahun, mahu ke Kampung Ranggu, manakala suspek dari arah Batu 17 menuju ke Ladang Sg Kawa.

“Lori yang dipandu suspek tiba di lokasi kejadian selepas melalui selekoh dan pada masa sama kereta mangsa keluar daripada simpang Kampung Serudong Baru, dan akibat itu lori dipandu suspek tidak dapat mengelak ekoran jarak yang dekat sekali gus melanggar kereta dibahagian pemandu, sehingga menyebabkan Proton Saga itu berpusing kemudian terbabas ke bahu jalan kanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Nor Azizulkifli, susulan insiden itu, mangsa tersepit di bahagian pemandu hampir 30 minit sebelum maut di tempat kejadian.

“Cucu mangsa, Nur Izzara Arrisa Abdullah, murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Kinabutan, patah tulang paha kiri manakala isteri dan anak mangsa cedera ringan,” katanya.

Semalam, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah dalam satu laporan awal berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.59 petang melibatkan seorang lelaki maut manakala seorang kanak-kanak perempuan cedera parah dan dua lagi wanita cedera ringan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *