Polis rampas emas hasil jual syabu

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji. – Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Polis merampas syabu bernilai RM37,000 dan menyita emas bernilai RM5,304 disyaki hasil jualan dadah dalam operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata sepanjang tempoh satu minggu bermula 29 April hingga hari ini, pasukan itu menahan 36 individu berusia antara 16 hingga 50 tahun.

Katanya, mereka dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah di sekitar Kampung Lokub, Kampung Labou, Kampung Bakau, Likas dan Kampung Air.

“Daripada jumlah itu, dua individu ditahan mengikut kategori bekalan dan pengedaran, sembilan ditahan kerana kesalahan memiliki dadah dan 25 lagi ujian air kencing positif dadah.

“Rantaian operasi yang dijalankan ini berjaya mengekang kegiatan pengedaran dadah di bandar raya dengan kejayaan tangkapan seorang lelaki dan dua wanita warga Filipina dengan hasil rampasan 251.40 gram syabu serta beberapa barang kemas, disyaki hasil jualan dadah terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan pada tempoh itu adalah sebanyak 258.12 gram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM38,720 mengikut harga pasaran.

“Semua individu ditangkap dan disiasat mengikut kesalahan masing-masing dibawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata, usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah sekitar daerah ini akan dipertingkat dari semasa ke semasa.

“Usaha ini diperkasakan lagi dengan mempertingkatkan Ops Tapis yang dijalankan sebanyak 19 kali sepanjang minggu, manakala Ops Sarang di kawasan Kampung Lokub dan Kampung Lobou Pulau Penampang berjaya dengan penahanan enam penagih yang dikehendaki.

“Bagaimanapun, usaha daripada orang ramai juga amat diperlukan, terutamanya dalam memberikan maklumat berhubung kegiatan tidak bermoral di kawasan masing-masing bagi membanteras kegiatan ini daripada terus berleluasa di Kota Kinabalu,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *