Lebih kepada persaingan antara DAP dan PBS – penganalisis

Bendera parti yang dipasang sepanjang Jalan Buli Sim-Sim memeriahkan lagi suasa dalam tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.186 Sandakan. – Foto Khairull Azry Bidin

SANDAKAN: Dengan tempoh berkempen berbaki seminggu lagi, calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan dijangka meningkatkan kempen masing-masing bagi mendapatkan seramai mungkin sokongan pengundi.

Ketika ini, calon DAP dilihat mendahului dari segi aktiviti kempen dengan antara lima hingga lapan program rumah ke rumah dan tinjauan mesra sehari oleh calonnya, Vivian Wong Shir Yee, khususnya di kawasan majoriti Cina dan Bumiputera Islam.

DAP turut menganjurkan ceramah setiap malam dengan beberapa pemimpin besar termasuk penasihat parti itu, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung yang juga Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, antara penceramah utama membantu kempen Shir Yee.

Saingan utama DAP, calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin, pula menggunakan pendekatan secara santai dalam usahanya menarik sokongan menerusi perjumpaan dengan pengundi pelbagai latar belakang.

Bekas Ahli Parlimen Batu Sapi itu menumpukan pendekatan bertemu dan bersalam dengan orang ramai, mendengar maklum balas mereka sambil mengedarkan risalah kempen di sekitar penempatan atas air, pasar, premis perniagaan dan perumahan.

Tiga calon Bebas, iaitu bekas pegawai eksekutif syarikat kelapa sawit, Chia Siew Yung; bekas Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH), Hamzah Abdullah dan bekas Pembantu Tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Abdul Samat, juga dilihat aktif berkempen dalam skala yang kecil.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Lee Kuok Tiung, berkata sebagai parti kerajaan, calon DAP mempunyai banyak kelebihan yang menjadikan mereka lebih menyerlah berbanding calon lain.

“Semua agensi kerajaan dan media perdana memberikan liputan kepada Shir Yee. Di atas kertas, ketika ini DAP pasti menang dalam PRK ini.

“PBS pula di kedudukan sebaliknya, namun ia mampu mencipta kejutan. Berdasarkan keputusan pada pilihan raya umum lalu (bagi Parlimen Sandakan), ia tidak mustahil kerana pengundi Sandakan mempunyai kecenderungan untuk mengundi pembangkang.

“Bagi saya, PRK ini lebih kepada persaingan di antara DAP dan PBS,” katanya.

Kuok Tiung berkata isu harian yang dihadapi rakyat menjadi faktor penting yang dilihat oleh pengundi untuk memilih siapa yang mereka sokong dengan kegagalan menunaikan manifesto juga boleh menjadi beban kepada Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, pensyarah kanan dan pengkaji politik UMS, Dr Zaini Othman, berkata pemerhatiannya mendapati pengundi Sandakan masih memberikan sokongan kepada DAP.

“Kali ini DAP bertanding sebagai kerajaan, bermakna ia dalam kedudukan bertahan, mereka mempunyai segala-galanya untuk meyakinkan pengundi bahawa mereka masih parti yang terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat Sandakan,” katanya.

Mengenai kemungkinan calon Bebas muncul sebagai pesaing kedua atau menjadi pemenang, Dr Zaini berkata ia bergantung kepada tahap kecelikan politik dalam kalangan majoriti pengundi di Parlimen Sandakan.

Katanya, PRK itu boleh menjadi medan ujian untuk melihat sejauh mana kecelikan politik pengundi Sandakan. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *