Projek RM5 Bilion, KK Resort City Dibina Di Lok Kawi

KOTA KINABALU – Pusat pelancongan berskala besar dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk hotel, pusat beli-belah dan pusat sosial bernilai kira-kira RM5 bilion, dikenali sebagai ‘KK Resort City’, akan dibina di Lokawi, dekat sini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan Sabah sangat mengalu-alukan pembangunan berkenaan yang dilaksanakan oleh KTS Group melalui anak syarikatnya, Sunduvon Corportion Sdn Bhd, kerana ia akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan ekonomi.

PROJEK BERMANFAAT: Tetamu kehormat merakamkan kenangan bersama di mercu tanda projek KK Resort City, semalam.

“Saya kagum kerana syarikat yang menjalankan projek ini adalah syarikat tempatan dan bukan pelabur asing. Saya yakin pembangunan pusat pelancongan yang bernilai kira-kira RM5 bilion ini bakal membawa limpahan ekonomi yang ketara kepada Malaysia, khususnya Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pecah tanah projek itu di Lokawi dekat sini, pada Khamis yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta Pengarah Urusan Sunduvon Corporation Sdn Bhd Datuk Henry Lau.

Mohd Shafie berkata kerajaan Sabah terus berusaha untuk menambah pembangunan hartanah di negeri itu bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi terutama menerusi sektor pelancongan.

“Sabah menerima lebih tiga juta ketibaan pelancong setiap tahun dan itu membuktikan terdapat keperluan untuk menyediakan kemudahan mencukupi bagi menampung jumlah itu.

“Ada kawasan pelancongan yang tidak dapat menampung ketibaan ramai. Jika pelancong datang dalam tempoh yang sama, pasaran tidak dapat menyediakan kemudahan diperlukan pelancong kerana pelancong bukan saja dari China, tetapi juga dari dalam negara. Oleh itu pembinaan KK Resort City ini sangat bertepatan,” katanya.

Sementara itu, Lau berkata KK Resort City yang akan dibina di tanah seluas 325 ekar (132 hektar) di Lokawi, kira-kira 15 kilometer dari pusat bandar Kota Kinabalu, bakal menjadi destinasi percutian bertaraf dunia.

“Kita tahu Sabah adalah menjadi permata dalam industri pelancongan kerana kaya dengan alam semula jadi yang sering menjadi tarikan utama pelancong luar.

“Oleh itu kita berterima kasih kepada Ketua Menteri Sabah kerana telah memberi sokongan dalam pembinaan projek ini dan kita harap projek ini akan memberi banyak manfaat kepada rakyat dan negeri ini,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *