Penduduk harap status Kampung Mangkalinau diiktiraf

Penduduk, Dayang Halimah Otoh, 57, mengharapkan kerajaan dapat memperbaharui jambatan sedia ada berikutan keadaan yang usang membahayakan penduduk terutama kanak-kanak di Kampung Mangkalinau. – Foto Khairull Azry Bidin

SANDAKAN: “Ada beberapa kejadian renjatan elektrik, tapi kami terpaksa sambung (elektrik secara haram) untuk dapatkan bekalan,” kata Dayang Halimah Otoh, 57, penduduk Kampung Mangkalinau.

Ia dilema dihadapi kira-kira 700 penduduk di perkampungan setinggan atas air akibat kesukaran memohon bekalan elektrik susulan status kampung yang tidak diiktiraf sejak didirikan 30 tahun lalu.

Penduduk mendakwa bukan saja terdedah kepada bahaya akibat penyambungan haram, malah berdepan kesukaran memohon kemudahan lain termasuk membaiki jambatan bagi menghubungkan setiap rumah kayu di kawasan terbabit.

Halimah yang berasal dari Pulau Tanjung Aru, dekat sini mengakui sejak lebih 11 tahun tinggal di kampung itu, mereka bergantung terhadap bekalan elektrik yang dicuri daripada kawasan berhampiran.

“Memang kami sentiasa terdedah kepada bahaya kerana wayar elektrik yang disambung tak selamat, tapi apa boleh buat.

“Kami harap kerajaan ada langkah untuk tangani masalah ini dengan mengiktiraf sebagai kampung yang sah kerana penduduk di sini ada juga warganegara,” katanya kepada BH.

Sementara itu, ketua masyarakat di kampung itu, Mohamad Idris, 51, berkata ada kira-kira 400 rumah di kampung terbabit dengan dua lagi penempatan kecil yang di kawasan itu dikenali sebagai Kampung Arang dan Kampung Icebox.

Katanya, kemudahan sah yang ada di kampung itu cuma bekalan air, manakala elektrik sehingga kini adalah sambungan haram kerana kesukaran bagi melakukan permohonan susulan status kampung yang bertaraf setinggan.

“Jambatan kayu pun cuma sekali diganti ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN), namun cuma bertahan lima tahun. Selepas itu, penduduk ambil inisiatif tampal sendiri jambatan yang berlubang.

“Selain diiktiraf sebagai kampung yang sah, kami juga harap kerajaan akan beri kemudahan seperti balai raya supaya Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dapat dibuka. Anak-anak sini ramai yang tak bersekolah kerana masalah dokumen,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong Ket Kiun, berkata ada empat perkampungan setinggan dalam DUN Elopura membabitkan Kampung Forest, Kampung Goodview, Kampung Mangkalinau dan Kampung Bakau-Letat dengan jumlah keseluruhan rumah dianggarkan 4,000 buah.

Beliau berkata, pihaknya dalam perancangan untuk melakukan bancian di Kampung Mangkalinau bagi mengenal pasti jambatan yang perlu dinaik taraf dan jumlah rumah memerlukan bekalan elektrik bagi menangani isu kecurian bekalan elektrik yang mendatangkan kesan terhadap kilang perindustrian di sekitar kawasan itu, selain bahaya kepada penduduk.

“Kampung Mangkalinau ada kira-kira 2,000 rumah, namun jumlah warganegara cuma sekitar 400 orang. Kita akan mula ukur panjang jambatan perlu dinaik taraf dan jumlah rumah perlu bekalan elektrik dalam waktu terdekat ini,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *