Sabah cari pengganti Milunovic

PEMAIN tengah dan import Pasukan Sabah, Luka Milunovic bakal kembali ke pangkuan Melaka United.

KOTA KINABALU: Sabah akan mencari pemain import baharu bagi menggantikan Luka Milunovic yang akan kembali ke pasukan asalnya Melaka United.

Pemangku presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Peter Anthony berkata, pihaknya akan mengambil peluang untuk membawa masuk pemain baharu apabila jendela perpindahan pemain mula dibuka pada 2 Mei ini. 

“Buat masa ini kita akan cari sekurang-kurangnya seorang pemain import baharu bagi mengisi tempat Luka yang akan kembali ke pasukan asalnya, Melaka United,” kata Peter.

“Saya berharap kita akan dapat pemain import yang lebih baik dalam masa terdekat untuk memantapkan lagi pasukan dalam menghadapi pusingan kedua nanti.”

Milunovic adalah antara pemain import baru skuad Tambadau musim ini tetapi hanya sebagai pemain pinjaman dari Melaka United dengan surat pelepasannya daripada SAFA berkuatkuasa hari ini. 

Peter berkata, beberapa calon pemain import sudah menyatakan minat mereka untuk menyarung jersi Sabah namun menegaskan mereka perlu diuji terlebih dahulu bagi memastikan pasukan mendapat pemain terbaik. 

“Kalau untuk perlawanan Sabtu ini (4 Mei), ia mungkin sudah terlalu suntuk tetapi kita akan cuba supaya pasukan kita lengkap semula dengan (empat) pemain import sekurang-kurangnya pada perlawanan kedua pusingan kedua,” katanya.

Sementara itu, Peter berkata, walaupun usaha bagi mencari pemain import baharu sedang giat dilakukan, tumpuan utama pasukan ketika ini ialah persiapan bagi menghadapi Selangor United, Sabtu ini.  – Berita Harian

85