Wanita kantoi cuba seludup 7.2 kilogram syabu


Omar (tengah) menunjukkan syabu yang dirampas daripada wanita warga asing. FOTO Malai Rosmah Tuah

WANITA warga asing berusia 40-an ditahan bersama 7.2 kilogram dadah jenis syabu di sebuah gerai makan di hadapan kawasan Pelabuhan Sandakan, 23 April lalu.

Dalam kejadian 5 petang, wanita itu ditahan bersama dadah yang disembunyikan dalam sebuah kotak dipercayai cuba diseludup ke negara jiran menerusi pelabuhan berkenaan.

Bagaimanapun, cubaan wanita itu gagal apabila sepasukan polis dari Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan berjaya mengesan kegiatannya hasil risikan dan maklumat awam.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, pemeriksaan terhadap kotak yang dibawa suspek didapati terdapat enam bungkusan paket teh cina sebelum dibalut dengan bungkusan biskut pelbagai jenama.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati semua bungkusan itu mengandungi serbuk hablur jernih dipercayai Methamphetamine dianggarkan bernilai RM360,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Suspek dipercayai keluar masuk secara sah menggunakan pasport ke negara ini sejak 2014 dan polis kini memburu suami suspek yang juga warga asing untuk membantu siasatan.

“Polis percaya suami wanita ini sedang menyembunyikan diri.

“Wanita ini tidak bekerja dan hasil ujian saringan air kencingnya negatif,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah hari ini.

Omar berkata, polis akan menjalankan siasatan untuk mengenalpasti pembekal bahan larangan itu namun pihaknya percaya dadah terbabit dibawa masuk dari luar negara dan menjadikan Sabah sebagai transit.

Katanya, suspek kini ditahan reman sehingga esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.

Sementara itu, Omar berkata, sepanjang tiga bulan pertama tahun ini, polis sudah menahan 4,212 individu membabitkan kesalahan Akta Dadah Berbahaya.

Katanya, daripada jumlah itu, 302 orang yang ditahan adalah pengedar dadah.

“Bagi rampasan dadah pula, polis merekodkan rampasan syabu paling banyak dengan 9.005 kilogram berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 7.987 kilogram,” katanya. – Harian Metro

264