Rezeki peniaga ikan bakar Pasar Sim-Sim bertambah

Pasar Sim-Sim yang menyediakan menu ikan bakar antara tumpuan pengunjung di Sandakan. 

SANDAKAN: Rezeki peniaga ikan bakar di Pasar Sim-Sim, di sini, bertambah dengan berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, berikutan kehadiran ramai pengunjung khususnya orang luar yang turut sama berkempen pada pilihan raya itu.

Sambutan yang menggalakkan itu menyebabkan peniaga ikan bakar di pasar itu tidak menang tangan, selain perlu menyediakan sekurang-kurang 200 kilogram ikan segar sehari berbanding purata 100 kilogram sehari pada hari biasa.

Hasrina Andy Cinta, 37, berkata berdasarkan pengalaman ketika PRK Parlimen Batu Sapi pada 2010, permintaan ikan bakar meningkat, manakala masa operasi diawalkan ke jam 7 pagi hingga 2 pagi, berbanding waktu biasa 9 pagi hingga 11 malam.

Selain sotong dan udang harimau, katanya, mereka meminta pembekal untuk menyediakan lebih banyak ikan dari jenis `belais’ atau nama siantifiknya Siganus sp, iaitu antara ikan paling diminati pengunjung pasar itu.

“Berdasarkan pengalaman lalu, 100 kilogram sehari tidak mencukupi kerana pengunjung yang kebanyakannya pekerja parti tidak putus. Mereka pula datang secara berkumpulan antara 10 hingga 15 orang.

“Dulu menu paling laris di pasar ini adalah sup kepala ikan, namun sekarang kami sudah menambah menu bukan saja berasaskan ikan, tapi ada juga makanan laut lain,” katanya.

Pasar Sim-Sim yang terletak dalam kawasan Parlimen Sandakan wujud sejak 20 tahun lalu dan antara destinasi wajib pengunjung termasuk pelancong luar negara kerana menyediakan menu ikan bakar.

Hasrina berkata, selain menambah bekalan ikan, mereka juga menambah jenis hidangan lain mengikut kemahuan pelanggan termasuk ikan tiga rasa dan sotong goreng tepung.

“Istimewanya di sini kerana konsep cuma bayar harga ikan, manakala nasi, beberapa jenis lauk ala kampung dan air kosong disediakan secara percuma.

“Cuma harga ikan meningkat mengikut harga pasaran. Contohnya lapan tahun lalu, harga setengah ekor ikan baulu (ikan susu) cuma RM5, tapi sekarang RM8,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *