Penduduk Sim-Sim Harap Jambatan, Wayar Elektrik Terbakar Diganti

SANDAKAN: Penduduk di Kampung Sim-Sim di sini berharap faktor keselamatan di kawasan itu akan dapat diberi perhatian terutamanya jambatan dan wayar elektrik yang perlu diganti selepas terbakar pada 2015.

Menurut penduduk kampung Jita Salleh, 41, walaupun jambatan simen yang menjadi laluan setiap hari penduduk di lorong 20 itu kelihatan kukuh, sebenarnya ia hanya menanti waktu untuk roboh.

Katanya, kayu di bahagian bawah binaan jambatan simen itu hangus terbakar dalam kebakaran itu yang turut memusnahkan kediamannya.

“Wayar elektrik pun terbakar tetapi sehingga sekarang masih belum diganti walaupun sudah dilaporkan kepada pihak yang berkaitan,” katanya ketika ditemui Bernama pada program tinjauan mesra bersama calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Lyn Achmad Adam, 49, berharap jambatan kayu yang rosak menuju ke rumahnya akan dapat diganti.

Katanya, jambatan ke rumahnya itu tidak pernah diganti sejak sekian lama dan berharap masalah itu akan mendapat perhatian.

Sementara itu, Wong berkata hasil lawatan berkenaan beliau dapat melihat beberapa masalah yang dihadapi oleh penduduk di kampung itu yang perlu diberi perhatian khususnya melibatkan aspek keselamatan.

Beliau berkata kampung itu memerlukan alat pemadam api sebagai langkah keselamatan kerana rata-rata rumah di situ diperbuat daripada papan.

“Faktor keselamatan terutamanya jambatan juga perlu dibaiki kerana keselamatan adalah keutamaan kita. Selain itu, masalah tempat letak kereta juga kita sedang usahakan untuk mencari tapak yang sesuai,” katanya.

Kampung Sim-Sim wujud sejak 1876 dibina di pesisir laut. Kini kampung itu terbahagi kepada 24 lorong dan setiap lorong mempunyai beberapa lot rumah. – BorneoToday

304