MPKK Perlu Bekerjasama Rapat Dengan Agensi Kerajaan

Ewon (tiga kanan) menyampaikan watikah perlantikan kepada salah seorang anggota MPKK, di sini pada Jumaat

OTELUPID: Anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri ini disaran berkerjasama erat dengan jabatan dan agensi kerajaan bagi memastikan program kemajuan dan kesejahteraan kampung dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick berkata, anggota MPKK adalah duta Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk membantu membangunkan komuniti dan kawasan luar bandar.

“Saya maklum perlantikan anggota MPKK di seluruh negeri hampir kesemuanya muka baru.

“Oleh itu, saya berharap Pengerusi MPKK, setiausaha dan 11 biro yang dilantik dibawah majlis itu dapat memantapkan kerjasama dan menjalankan amanah yang diberikan secara berpasukan dan penuh tanggungjawab.

“Terdapat 11 biro di dalam MPKK iaitu Biro Pembangunan Prasarana; Biro Keselamatan dan Kesihatan; Biro Pengurusan Kewangan; Biro Ekonomi dan Keusahawanan; Biro Kesejahteraan dan Keceriaan; Biro Pendidikan dan Inovasi; Biro Pemantapan Spiritual; Biro Kebajikan dan Kesukarelawan; Biro Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO); Biro Infostruktur dan Komunikasi dan Biro Hal Ehwal Wanita dan Keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan MPKK kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Labuk melibatkan daerah Telupid dan Beluran, di Dewan Institut Perhutanan Sabah (IPS) Telupid, di sini pada Jumaat.

Ewon, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian ini turut menyarankan pengerusi-pengerusi MPKK supaya mengadakan kunjungan ke pejabat-pejabat kerajaan untuk menjalinkan kerjasama termasuk pejabat daerah dan pejabat KPLB Persekutuan mengenai permohonan geran MPKK berjumlah RM10,000 bagi aktiviti keceriaan dan kesejahteraan kampung.

“Bagaimanapun, tidak semua MPKK akan mendapat geran ini kerana peruntukan yang terhad. Kerajaan Persekutuan hanya menyediakan RM100 juta bagi seluruh negara. MPKK seluruh Malaysia ketika ini sebanyak 16,481 buah maka, hanya 10,000 MPKK sahaja dijangka mendapat geran tersebut.

“Di Sabah pula, terdapat sebanyak 2,853 buah MPKK. Jadi, saya berharap pengerusi serta anggota MPKK di seluruh negeri ini dapat bekerjasama sebaiknya merebut peluang mendapatkan geran tersebut dengan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh KPLB Persekutuan.

“Ia juga berasaskan kepada ‘first come, first serve’. Justeru, saya berharap ini adalah antara keutamaan yang harus diambil tindakan oleh MPKK di Labuk ini,” katanya.

Ewon turut menyeru agar Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dapat menyelaraskan taklimat keselamatan MPKK dan Ketua-Ketua Kampung bersama dengan Ibu Pejabat Polis Daerah bagi memperkasakan kerjasama dalam aspek keselamatan dan pencegahan jenayah di kampung masing-masing.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Rasinin Koutis, Setiausaha Tetap KPLB Fredian Gan, Pegawai Daerah Telupid Benedict Asmat, Pegawai Daerah Beluran Nordin Daling, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Labuk Abdul Talip Yahya dan mantan ADUN Labuk Datuk Tan Yong – BorneoToday

176