Anjur majlis buka puasa satu kesalahan: Bersih Sabah

KOTA KINABALU: Pemerhati pilihan raya, Bersih 2.0 (Sabah), mengingatkan calon-calon dan parti yang bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Sandakan supaya berhati-hati khususnya tidak melakukan sesuatu yang boleh membatalkan puasa seseorang semasa tempoh berkempen, memandangkan bulan Ramadan akan bermula pada 6 Mei ini.

Menganjurkan sebarang majlis berbuka puasa secara terbuka (memberikan makanan dan minuman percuma) yang boleh membatalkan puasa serta memberikan wang dan hadiah, termasuk Bubur Lambuk, oleh mana-mana calon pilihan raya atau parti yang bertanding semasa tempoh berkempen dianggap sebagai kesalahan-kesalahan pilihan raya, kata Naib Pengerusinya Beverly Joeman. 

Kesalahan-kesalahan lain termasuk memberi dan menerima rasuah, menyalahgunakan jentera dan sumber kerajaan, menggunakan pengaruh kerajaan untuk mendapat undian, mengugut, kekerasan dan sebarang juga bentuk gangguan serta berkempen pada hari mengundi,” katanya.

“Ini kerana terdapat kecenderungan oleh calon-calon yang menggunakan majlis berbuka puasa atau terlibat dalam pemberian bubur lambuk sebagai alasan untuk berkempen memandangkan pilihan raya kecil akan diadakan semasa bulan Ramadan. 

“Tiada masalah jika calon dijemput dan individu terbabit datang untuk menyertai mana-mana majlis berbuka puasa yang bukan dianjurkan olehnya atau parti politiknya, tetapi calon hanya boleh menghadirinya tanpa membuat sebarang ucapan atau mana-mana bentuk kempen,” katanya dalam satu sidang media bagi mengumumkan pelancaran kempen Pemantaunya di Sembulan di sini, Khamis.

Kempen Pemantau itu akan dimulakan sejurus hari penamaan. Pilihan raya kecil Sandakan, susulan kematian penyandangnya mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt, akan diadakan pada 7 Mei bagi undian awal dan 11 Mei untuk undian biasa.

Joeman, bersama Penyelarasnya Asraf Sharafi Mohd Azhar dan lima yang lain akan berada di Sandakan bagi memantau kempen pilihan raya dan melaporkan mana-mana kesalahan pilihan raya dan penipuan sebelum dan semasa pilihan raya kecil berlangsung.

“Rakyat Sabah mempunyai tugas untuk memastikan ahli politik bertanggungjawab semasa tempoh berkempen. Kami menggesa semua rakyat Sabah agar memantau pilihan raya kecil ini bersama-sama bagi memastikan proses dan kempen pilihan raya dijalankan mengikut undang-undang dan perlembagaan.

“Mari jadikan Sabah sebagai contoh kepada seluruh negara mengenai apa itu pilihan raya yang bersih, bebas dan adil,” kata beliau, dan menambah Pemantau akan memberikan tumpuan pada enam jenis kesalahan seperti yang disebutkan yang biasanya dilakukan oleh calon dan parti mereka semasa pilihan raya.

Bersih 2.0 (Sabah) akan menyediakan laporan berkala pada pilihan raya kecil itu dan mengumpulnya untuk diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas berakhirnya pilihan raya kecil itu, katanya, dan menambah orang awam yang nampak mana-mana kesalahan pilihan raya, pencabulan hak atau kempen bersifat perkauman ekstrem boleh mengemukakan aduan kepada emel Bersih 2.0 di [email protected] atau hubungi / WhatsApp kepada 014-5724007.

Beliau turut menasihati kesemua calon dan jentera parti yang bertanding agar membaca Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya 1954 supaya mereka boleh berkempen mengikuti etika yang betul dan tidak melakukan sebarang kesalahan pilihan raya.

Mendiang Wong sudah dua penggal menjadi Ahli Parlimen untuk Sandakan sejak 2013 dan pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah, salah sebuah komponen parti pemerintah Pakatan Harapan (PH). Beliau juga memegang jawatan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat.

Anak perempuan mendiang, Vivian Wong Shir Yee, 30, yang bertindak sebagai pegawai khas beliau di Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, dinamakan sebagai calon DAP dalam pilihan raya kecil tersebut.

Sementara itu, Joeman menggesa SPR mengambil laporan Bersih mengenai kesalahan-kesalahan pilihan raya semasa tiga pilihan raya kecil baru-baru ini dengan segera.

“Saya difahamkan SPR masih menyiasat perkara itu tetapi kami berharap mereka akan melakukannya demikian.

“Sebagai contoh, memberikan makanan percuma oleh sebuah parti politik pada pilihan raya kecil Rantau adalah satu kesalahan. J

ika calon itu menang, dia boleh kehilangan kerusinya,” katanya. – Harian Ekspres

106