Ibu tunggal cabar diri jadi pemandu lori kontena sara 2 anak

Rokiah berusia 53 tahun memecah tradisi kerjaya sebagai pemandu lori kontena yang kebiasannya dipandu golongan lelaki.

Sebahagian besar wanita memilih bekerja di pejabat dan hanya sebilangan kecil sanggup serta mampu memikul tugas berat yang biasanya dilakukan lelaki.

Namun, memandangkan beliau perlu membesarkan 2 anak lelaki, Rokiah Salim yang berusia 53 tahun memilih untuk menjadi pemandu lori kontena 10 tayar bagi mencabar dirinya yang turut menggemari aktiviti lasak.

Disebabkan itu, beliau juga diberikan gelaran “hakak lori”.

“Selepas berhenti kerja dan ditawarkan VSS pada 2014, saya tercari-cari pekerjaan untuk menyara 2 anak lelaki memandangkan saya adalah ibu tunggal. Ketika itu, saya aktif dalam dunia permotoran dan menyertai sebuah kelab motosikal, lantas saya menyahut cabaran mereka.

“Lagipun, saya banyak mengembara ke luar negara dan wanita yang bekerja sebagai pemandu lori ini bukan perkara asing. Jadi, apa salahnya saya mencuba kerjaya itu,” katanya kepada FMT.

Bermula 8.30 pagi, beliau akan memulakan rutinnya dengan memandu lori ke pelabuhan dan mengakhiri tugasannya pada 10.30 malam.
Tidak seperti wanita lain berusia 50an, tampak kecil molek namun gagah dan memiliki karakter tersendiri yang lebih ‘brutal’

Menceritakan pengalamannya, Rokiah berkata, ia tidak semudah disangka kerana di peringkat permulaan, banyak syarikat yang menolak permohonan beliau.

“Sehingga akhirnya syarikat yang saya bekerja sekarang memberikan peluang. Sejak itu, bermulalah kehidupan saya sebagai pemandu lori kontena untuk dihantar ke Pelabuhan Prai. Saya hanya buat ‘local trip’ sahaja.

“Ada juga ahli keluarga saya yang menentang, tetapi anak-anak saya sangat menyokong dengan kerjaya yang saya lakukan.

‘Hakak lori’ gelaran yang diberikan terhadapnya tidak kisah malah lebih selesa memakai baju kurung ketika memandu lori kontena 10 tayar.
Siapa sangka ‘hakak lori’ mampu membuktikan wanita mampu buat kerja sama seperti lelaki.

“Saya faham ada di luar sana beranggapan kerjaya ini tidak sesuai untuk golongan wanita, tetapi saya dah berjaya buktikan kepada mereka yang pilihan saya adalah tepat,” katanya yang bekerja di Seberang Prai, Pulau Pinang.

Walaupun sebahagian besar pemandu lori kontena terdiri daripada lelaki, Rokiah masih mengekalkan ciri-ciri kewanitaan dengan berbaju kurung ketika menjalankan tugasnya.

“Kenapa? Bukan ada masalah bawa lori sambil pakai baju kurung, pakaian itu tidak langsung mengganggu saya menjalankan tugas, malah ia lebih selesa, nampak lebih manis, tapi ‘rare’ kan?

“Memanglah, masyarakat memandang ia sebagai suatu perkara pelik, tapi secara peribadi, ia tidaklah pelik pun, malah lebih selesa mengenakan pakaian tradisi kita bila saya bawa lori. Tetapi, saya tetap akan memakai jeans di bahagian dalam bagi menjaga aurat.”

Pendapatan Rokiah kini mencecah RM3,000 hingga RM5,000 sebulan dan waktu kerjanya agak fleksibel, kebiasaannya dari 8.30 pagi hingga 10.30 malam.

Menyahut cabaran daripada rakan-rakan dalam dunia permotoran, Rokiah memilih kerjaya sebagai pemandu kontena bagi menyara kehidupannya serta 2 orang anak lelakinya

“Kalau saya nak bercuti ke luar negara, saya akan buat ‘target’. Saya akan kerja lebih panjang dan saya akan mengambil cuti panjang selepas itu. Saya pernah bercuti 12 hingga 20 hari, tetapi saya perlu cukupkan ‘trip’ sebanyak 150 sebulan.”

Rokiah menasihatkan ibu tunggal lain supaya menggagahkan diri untuk mencari nafkah.

“Saya gembira kerana kisah saya sedikit sebanyak membuka mata masyarakat di luar sana. Wanita perlu yakin dengan bidang diceburinya, banyak kerja yang boleh kita lakukan asalkan kita rajin dan sanggup sahut cabaran.

“Saya sehingga hari ini mampu membesarkan anak-anak sehingga memperoleh ijazah dalam bidang ‘biotech’ dan pendidikan.

“Untuk ibu tunggal, jangan sedih terlalu lama, kita perlu bangkit kerana kita masih ada anak-anak yang perlu dibesarkan. Jangan harapkan bantuan orang lain, kita sendiri kena berusaha.

“Peluang dan ruang itu ada, jadi semuanya atas diri sendiri, sama ada nak berjaya atau tidak, nak berjaya macam mana sekalipun, itu adalah kita yang tentukan.

“Jangan libatkan anak-anak, jangan jadikan bekas suami musuh kita kerana dia tetap ayah kepada anak-anak kita selamanya.”

Beliau turut menasihatkan anak muda, khasnya wanita untuk tidak terlalu memilih pekerjaan.

“Bagi anak-anak gadis, jangan terlalu memilih kerja, konon nak bekerja dalam pejabat sahaja, sedangkan masih banyak peluang yang ada.

“Kerjaya sebagai pemandu lori mendatangkan pendapatan yang lumayan, cuma kalau nak gaji lebih, kenalah kerja lebih masa. Semuanya terpulang kepada diri sendiri.” – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *