Beri FAM kuasa penuh urus bola sepak

KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, berpendapat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) seharusnya diberi kuasa penuh bagi mengendalikan pengurusan bola sepak di negara ini. 

Katanya, sejak beberapa perubahan dilakukan sebelum ini, termasuk pembabitkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), banyak masalah sebelum ini tidak pernah berlaku mula timbul. 

“Kalau kita mahu majukan bola sepak, bukan saja di Sabah, pengurusan perlulah diperbaiki dan yang paling penting perlunya satu badan mempunyai kuasa khusus. 

“Sebagai contoh kalau kita lihat liga bola sepak di negara kita, sejak MFL mengambil alih, begitu banyak masalah timbul termasuklah pengguguran pasukan dan ada juga yang menarik diri.

“Saya percaya sekiranya perkara ini mendapat bimbingan FAM serta dibuat secara teratur, ianya mungkin boleh dilakukan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini. 

Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, berkata sejak pembabitan MFL dalam FAM, mula kelihatan ‘bibit’ perpecahan dan tidak puas hati penaja utama sehingga ada yang mahu menarik diri. 

“Kita kena ambil ini sebagai iktibar kerana jika ia berlarutan, sudah pasti pembangunan bola sepak kita akan terjejas. 

“Sudah tiba masanya FAM diberi kuasa sepenuhnya seperti sebelum ini, agar pelan pembangunan bola sepak negara lebih teratur dengan kerjasama semua ahli gabungan di seluruh negeri. 

“Apa yang saya nampak ketika ini adalah pertindihan kuasa dan kadang-kadang sekiranya pihak SAFA sendiri mahu menghantar surat, kami kurang jelas surat itu mahu ditujukan kepada siapa, sama ada MFL atau FAM,” katanya. 

Sementara itu, Peter turut mempersoalkan kelewatan MFL mengagihkan geran tahunan kepada ahli gabungan FAM sehingga mengakibatkan pembangunan bola sepak di negeri terbantut. 

“Dulu di bawah seliaan FAM, ia tidak menghadapi masalah, geran itu sepatutnya diberikan pada awal tahun tetapi sekarang kita sudah mahu memasuki bulan Mei. 

“Ini sesuatu yang tidak baik untuk pembangunan bola sepak kita, sekiranya kita ingin melahirkan lebih ramai pemain yang mampu menyumbang kepada negara, kita perlu penambahbaikan dari segi pengurusan,” katanya.

Terdahulu sebelum sidang media itu, Peter turut mengadakan pertemuan dengan presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, di sini, pagi tadi, bagi membincangkan beberapa isu termasuk hala tuju bola sepak Sabah dan negara. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *