Timbalan Pengarah JKNS Sabah, dua isteri didakwa terbabit rasuah

Ismail bersama dua isterinya keluar dari mahkamah selepas dituduh terlibat mengubah wang haram bernilai RM1.946 juta.

KOTA KINABALU, 22 April – Timbalan Pengarah Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS) dan dua isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki wang hasil haram dengan nilai keseluruhan RM2,199,739.

Ketiga-tiga tertuduh, Ismail Ahmad, 58, isteri pertamanya Masniah Buaya, 58, dan isteri keduanya, Runtiah Rais, 42, didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Ismail, didakwa dengan 23 pertuduhan yang mana lapan pertuduhan secara individu, sembilan pertuduhan bersama Runtiah, dan enam lagi bersama Masniah.

Kesemua 23 pertuduhan yang melibatkan RM2,199,739, itu melibatkan projek di jabatan berkenaan dan 21 pertuduhan dilakukan pada 23 Jan 2018 di beberapa lokasi bank di sekitar Kota Kinabalu dan masing-masing satu pertuduhan dilakukan pada 24 Jan 2018 dan 29 Ogos 2019.

Hakim Abu Bakar Manaf membenarkan Ismail diikat jamin RM100,000, dan masing-masing RM50,000 untuk kedua-dua isterinya dan menetapkan 19 Jun depan sebagai sebutan semula kes.

Kesemua tertuduh diwakili Peguam Wontti Junius manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mahadi Abdul Jumaat dan Mohd Farez Rahman.

— BERNAMA

304