Bergaduh ungkit kisah lama

SEORANG lelaki parah dipukul menggunakan besi selepas cuba meleraikan pergaduhan rakannya dengan sekumpulan lelaki di luar pusat hiburan di Jalan Bundusan, di Penampang, kelmarin.

Dalam kejadian 1.55 pagi itu, tiga lagi rakannya turut cedera dibelasah oleh kumpulan terbabit.

Semua mangsa berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) kini dalam keadaan sedar dan stabil.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati mangsa dimaklumkan seorang daripada rakannya pengsan dipukul oleh beberapa lelaki dipercayai dibawah pengaruh alkohol.

“Mangsa bersama dua rakannya kemudian cuba menenangkan dan meleraikan keadaan, namun turut dipukul oleh beberapa lelaki menggunakan besi.

“Siasatan mendapati pergaduhan ini berlaku disebabkan suspek tidak puas hati dengan pertelingkahan lama yang belum selesai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, suspek sudah dikenalpasti dan usaha menjejakinya giat dilakukan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata,” katanya. – Harian Metro

239