Sabah mahu contohi Jiangxi untuk pacu perindustrian

Ketua Menteri Sabah bersama Gabenor Lianghong menandatangani Surat Hasrat untuk mewujudkan hubungan Wilayah Kembar Rumah Tamu Qianhu pada Sabtu.

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu mencontohi Provinsi Jiangxi di China untuk memacu perindustrian di Sabah.

Sebaik sahaja tiba di Bandaraya Nanchang pada Sabtu, Mohd Shafie melakukan kunjungan hormat ke atas Gabenor Jiangxi, Yi Lianhong, di Rumah Tetamu Negeri Qianhu, dengan kedua-dua pemimpin menandatangani Surat Hasrat untuk mewujudkan hubungan wilayah berkembar.

Sabah dan Jiangxi berhasrat menerokai perdagangan, pelaburan, pertanian dan pelancongan untuk menjana manfaat bersama dan menggalakkan kemakmuran dan pembangunan bersama.

Mohd Shafie berkata beliau telah memilih untuk melawat Jiangxi atas faktor kedekatannya dengan Sabah dan kepesatan pertumbuhan ekonominya yang menyaksikan Keluaran Dalam Negeri Kasar provinsi itu meningkat 8.7 peratus kepada RMB 2.19 trllion (RM1.35 trilion) pada 2018 berbanding pada tahun sebelumnya.

“Sabah sudah menikmati jumlah tertinggi ketibaan pelancong China di Malaysia tetapi sebagai negeri pengeluar minyak terbesar dan kedua terbesar pengeluaran gas asli (di Malaysia), ia mempunyai begitu banyak untuk ditawarkan kepada pelabur China juga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam responsnya, Yi berkata beliau berbesar hati untuk mengalu-alukan kunjungan tetamunya itu dan mencadangkan hubungan diperluaskan lagi untuk melangkaui perdagangan dan ekonomi dengan turut meliputi kebudayaan dan pendidikan.

Sementara itu, Persatuan Persahabatan Ma-Zhong Sabah menandatangani memorandum persefahaman dengan Persatuan Persahabatan Rakyat Jiangxi dengan Negara-Negara Asing untuk menggalakkan pertukaran mesra antara kerajaan tempatan dan penduduk  Sabah dan Jiangxi.

Jiangxi, terletak di tenggara China, meliputi kawasan seluas 166,900 kilometer persegi dengan populasi 46 juta penduduk, dan lebih dikenali sebagai kawasan ikan dan beras.

Lokasinya yang strategik membolehkan ia dihubungkan ke timur dan barat dan menghubungkan utara dengan selatan.

Laluan kereta api merentasi 4,000 kilometer dan lebuh raya di pronvinsi itu sepanjang 6,000 kilometer keseluruhannya. Juga terdapat tujuh lapangan terbang di Jiangxi yang menghubungkannya ke tempat-tempat di seluruh dunia.

Dirahmati dengan kekayaan sumber galian terdiri daripada 170 jenis berbeza, simpanan tembaganya menduduki tempat teratas di China. Ia mempunyai lombong tembaga terbesar di Asia dan pusat peleburan tembaga terbesar di China.

Ketua menteri turut melawat ibu pejabat Jiangxi Copper Corporation, yang tersenarai dalam senarai Fortune 500.

— BERNAMA

97