Projek Hidro Elektrik Pantai Timur Sabah Sedang Dikaji – Peter

KOTA KINABALU: Selaras dengan perancangan membina Pelan Pembangunan Hidro Elektrik Wilayah Selatan, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan menjalankan kajian terperinci bagi mengenalpasti tapak berpotensi untuk projek hidro di Pantai Timur Sabah.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony berkata, kajian itu dilaksana bagi menentukan potensi penjanaan tenaga dan kos setiap projek dengan lebih tepat, di samping menentukan impak kepada sosial dan alam sekitar.

”Kajian itu dijangka akan bermula pada bulan Mei dan dijangka siap pada penghujung tahun ini,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini pada Khamis.

Menurutnya, projek pembangunan hidro itu bagi memenuhi keperluan bekalan tenaga elektrik pada masa hadapan.

Mengenai pelaksanaan dua projek mega iaitu Projek Hidro Elektrik Upper Padas dan Hidro Elektrik Telekosang, kedua-dua projek itu masih belum dapat dilaksanakan kerana masih belum dimuktamadkan dan mendapat kelulusan.

Katanya, projek hidro Telekosang sedang dalam proses untuk mendapatkan kelulusan dari Jabatan Pengairan & Saliran Sabah dan Jabatan Perhutanan Sabah. Proses itu diijangka siap menjelang Julai 2021.

Selaras langkah mengoptimakan keupayaan dua (2) projek mega itu, pembinaan projek Southern Link iaitu pembinaan talian penghantaran 275 kilo volt sepanjang 390km, yang menghubungkan Pencawang Masuk Utama (PMU) Kalumpang, Tawau perlu dilaksanakan.

”Projek Southern Link ini merupakan talian kedua yang akan menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah. Ia akan membantu mengukuhkan Sistem Grid Elektrik di Sabah seiring langkah membekalkan tenaga elektrik yang lebih fleksibel dan lebih andal,” ujarnya.

Berkenaan sasaran Sistem Indeks Purata Sistem Gangguan (SAIDI) bekalan elektrik di Sabah, sasaran SAIDI yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga di negeri ini adalah pada kadar 150 minit pada 2020.

Katanya, pencapaian SAIDI SESB pada 2018 mencatatkan 268 minit/pelanggan berbanding dengan 241 minit/pelanggan pada 2017.

“Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) dan Suruhanjaya Tenaga telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan SESB untuk mengkaji semula sasaran SAIDI dan ‘road map’ untuk penurunan SAIDI di Sabah.

“Ia akan mengambilkira inisiatif-inisiatif yang dikenalpasti, dan keperluan dana yang boleh diperuntukan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Perkara ini hanya akan dapat dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif Sabah yang dijadualkan dalam Mei ini. Sasaran SAIDI bagi 2019 hanya akan dimuktamadkan selepas mesyuarat itu diadakan,” jelasnya.

Kemudian mengenai proses pengambilalihan SESB, Kerajaan Sabah telah melantik juruperunding bagi melaksana langkah menyeluruh merangkumi aspek teknikal dan kewangan yang terlibat dalam proses pengambilalihan itu.

“Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) juga telah dipertanggungjawabkan untuk menyelaras urusan pengambialihan ini. Keseluruhan proses ini termasuk proses rundingan dengan pihak Kerajaan Pusat dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kelak dijangka akan dimuktamadkan dalam tempoh dua tahun atau lebih awal. – BorneoToday

379