Petugas pilihan raya meninggal dunia akibat keletihan

JAKARTA: Enam pegawai jawatankuasa pusat pengundian (KPPS) dilaporkan meninggal dunia disebabkan keletihan melampau selepas bekerja dalam tempoh panjang pada hari pilihan raya umum Indonesia, kelmarin.

The Jakarta Post melaporkan, salah seorang pegawai itu, Supriyanto, 54, yang juga ketua KPPS di daerah Cigalontang, Tasikmalaya, Jawa Barat, ditemui pengsan dan dikejarkan ke pusat kesihatan berdekatan tetapi disahkan meninggal dunia pada 2 petang kelmarin.

Ketua Polis Cigalontang, Tudiman, berkata Supriyanto mungkin terlalu penat selepas bekerja 12 jam tanpa henti.

“Supriyanto mengadu sukar bernafas sebelum pengsan. Menurut keluarganya dia ada penyakit asma,” kata Tudiman kepada portal berita tempatan Tribunnews.com.

Sementara itu, di Malang, Jawa Timur, pegawai KPPS Agus Susanto, 40, dari daerah Lowokwaru meninggal dunia selepas selesai bertugas di sebuah pusat pengundian.

Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Umum di Malang, Zaenudin, berkata Agus turut berkemungkinan meninggal dunia kerana kepenatan selepas bertugas pada hari pilihan raya.

Netizen yang turut bersedih mula menggunakan tanda pagar #MartirDemokrasi untuk menghormati usaha mereka dalam pilihan raya itu.

Ketua KPPS di Kota Bekasi, Ahmad Salahudin, 43, terkorban akibat dilanggar lori ketika menghantar anaknya ke sekolah.

Dia dipercayai berada dalam keadaan penat kerana baru selesai mengira undi pada 4 pagi (waktu tempatan) kemudian menghantar anaknya ke sekolah pada 7 pagi, lapor Kompas.com – Agensi

Petugas Pemilu 2019 mendapatkan rawatan di klinik Kabupaten Bogor yang sakit./Foto: Rishad
144