Syukur dah ada air

KAKITANGAN JANS menyambung semula bekalan air kepada penduduk KIPS di Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Pembaca

“SAYA teruja selepas 18 hari tiada air, bekalan akhirnya disambung semula sejak dua hari lalu,” kata Amego Serasa Tosel, 54, salah seorang penghuni di Kuarters Institut Perguruan Sabah (KIPS), di Bukit Padang, Kota Kinabalu.

Menurut Amego, sebelum ini kerajaan melalui Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bersetuju menghantar bekalan sementara secara percuma ke perumahan itu bermula Selasa lalu.

“Bagaimanapun, kami tidak menyangka bekalan air disambung semula sehari kemudian dan semua penduduk mula mendapat bekalan air kira-kira jam 3 petang di rumah masing-masing.

“Walaupun pada mulanya air yang keluar daripada paip kelihatan keruh, namun semua penduduk gembira apabila sudah boleh menggunakan air dari paip rumah dan tidak perlu keluar mendapatkan air,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, banyak pengalaman dilalui sepanjang lebih dua minggu perumahan mereka tiada bekalan air.

“Banyak sudah kami lalui termasuk pernah dihalau dari stesen minyak kerana cuba mendapatkan bekalan air tetapi bagi saya ini adalah pengajaran untuk semua pihak supaya kejadian sama tidak berulang,” katanya.

Penghulu KIPS, Herbert Justine berkata, penduduk di semua blok lega apabila bekalan air yang terputus kini disambung semula selepas rundingan antara JANS dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), baru-baru ini.

“Pada mulanya, JANS bersetuju menghantar bekalan air dengan menyediakan tangki dan pam air di 16 blok. Bagaimanapun, mungkin disebabkan kos untuk melaksanakannya terlalu tinggi menyebabkan jabatan itu mengambil keputusan menyambung semula saja bekalan air di perumahan ini.

“Berhubung masalah kebocoran berlaku sehingga menyebabkan bil air di KIPS meningkat, ia akan diselenggara bagi mengelak berlaku ketirisan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JANS, Ir Amarjit Singh ketika dihubungi, mengesahkan meter air sudah dipasang semula di KIPS.

Beliau berkata, ia dilakukan atas dasar kemanusiaan selain mengambil kira kos penghantaran air yang tinggi.

Terdahulu, lebih 1,000 penghuni KIPS terputus bekalan air sejak 1 April lalu susulan bil air tertunggak mencecah sehingga RM700,000 sehingga menyebabkan JANS terpaksa bertindak memotong bekalan air di perumahan itu. – Harian Metro

100