Rumah mampu milik harga RM200,000 ke bawah akan dibina

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan merealisasikan pembinaan rumah mampu milik berharga RM200,000 ke bawah bagi membolehkan lebih ramai rakyat Sabah untuk memiliki rumah sendiri.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, perkara itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri dengan mengguna pakai konsep Sistem Binaan Berindustri (IBS).

“Rumah mampu milik kini berharga RM250,000 tidak mampu untuk dimiliki oleh rakyat berdasarkan polisi yang diamalkan bank. Pembeli perlu membayar 10 peratus daripada jumlah itu (RM25,000) tidak termasuk cukai-cukai serta pembayaran lain yang akhirnya menjangkau RM30,000.

“Kita sudah ada data berapa jumlah perlu dibina…kita tidak bina rumah percuma tetapi mampu milik. Jangan buat rumah mampu lihat tetapi tidak mampu dimiliki,” katanya dalam sidang media selepas ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Khamis.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, konsep pembinaan IBS perlu difahami oleh rakyat kerana ianya mampu membina sebuah rumah yang cantik, berkualiti tetapi dengan harga mampu milik.

Katanya, usaha juga akan dilakukan dengan pihak pemaju dan pengeluar bahan mentah seperti simen dan pasir serta sebagainya.

“Kalau membina rumah mampu milik di bawah kawalan kerajaan, kita boleh meminta kerajaan untuk mengecualikan cukai membeli bahan mentah seterusnya membolehkan rumah itu dibina dengan lebih murah.

“Subsidi yang diberikan itu akhirnya akan dikembalikan kepada rakyat,”katanya.

Menurutnya, keperluan sebidang tanah di kawasan bandar adalah sangat mendesak sehingga wujudnya banyak setinggan.

Katanya, tanah kerajaan luas di kawasan luar bandar tetapi di bandar kebanyakkan dimiliki oleh persendirian atau swasta.

“Sebab itu kita berhadapan dengan kejadian lebih 10,000 unit rumah di bandar tidak terjual. Kita tidak salahkan pemaju sebab tanah yang dibeli mereka itu mahal dan akhirnya rumah yang dijual itu turut berharga mahal.

“Apa-apa pun, kita akan kenal pasti tanah yang dekat bandar milik kerajaan atau tanah di kawasan setinggan milik kerajaan agar dinaik taraf kawasan itu menjadi perumahan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, usaha itu perlu dibincangkan secara terperinci khususnya mengenai kebajikan mereka yang tinggal di kawasan setinggan itu.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) George Hiew, Setiausaha Tetap KKTP Masnah Matsalleh serta tetamu kehormat yang lain. – Utusan Borneo

214