Lelaki maut digilis kereta api di Beaufort

MANGSA maut akibat digilis kereta api di Kilometer 1.5 Beaufort – Tanjung Aru, berhampiran Chan Funiture, Beaufort. – Foto ihsan polis

BEAUFORT: Seorang lelaki maut digilis kereta api selepas disyaki tidur di tepi landasan di Kilometer 1.5 Beaufort – Tanjung Aru, berhampiran Chan Furniture, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Totoh, 20-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepalanya.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak, berkata siasatan awal mendapati kereta api dikatakan bertolak dari stesen Beaufort menuju ke stesen Tanjung Aru dengan kelajuan 35 kilometer sejam.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu melihat satu objek melintang di landasan kereta api. Ketika itu pemandu menyangkakan objek itu adalah sampah kerana keadaan ketika itu gelap.

“Dalam jarak 20 meter pemandu jelas nampak objek itu adalah manusia lalu menggunakan brek kecemasan hingga menyebabkan kereta api terseret dan menggilis mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmir berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Beaufort untuk bedah siasat.

“Mangsa tidak mempunyai dokumen dan siasatan mengesyaki mangsa seorang penagih gam dan tidur di landasan itu kemungkinan dalam khayal akibat menghidu gam.

“Polis masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – Berita Harian

206