PRK Sandakan: MCA sedia letak calon

SANDAKAN: MCA Sabah bersedia meletakkan calon bertanding pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sandakan pada 11 Mei ini.

Pengerusinya, Lee Wan Tung, berkata mereka bagaimanapun masih membincangkan perkara itu dan belum ada keputusan muktamad mengenainya.

Katanya, ada keperluan untuk MCA meletakkan calon di kerusi terbabit selepas UMNO mengesahkan tidak akan bertanding, selain mengambil kira faktor hampir separuh daripada pengundi adalah masyarakat Cina.

“Belum ada keputusan setakat ini (bertanding atau tidak), namun kita bersedia. Kita juga sedang kaji bersama Presiden MCA (Datuk Seri Dr Wee Ka Siong) dan bincang dengan lima bahagian (Sandakan, Batu Sapi, Libaran, Beluran dan Kinabatangan) pelbagai aspek sebelum umum,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Ketika ini, hanya MCA dan UMNO sebagai anggota komponen Barisan Nasional (BN) yang masih bertapak di Sabah.

Wan Tung berkata, MCA juga akan berbincang dalam BN serta parti pembangkang yang lain di Sabah untuk mencapai kata sepakat dan menetapkan hanya satu parti daripada blok pembangkang bertanding.

“Kita perlu satu suara (dalam parti pembangkang), tidak boleh semua (parti) mahu tanding,” katanya.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong selepas kematian penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Tien Fatt memperolehi 10,098 majoriti selepas menewaskan Datuk Lim Ming Hoo daripada Parti Liberal Demokratik (LDP).

Selain dua calon Bebas yang sudah mengumumkan untuk bertanding di kerusi itu, beberapa parti termasuk Gabungan Bersatu Sabah (GBS), Parti Bersatu Sabah (PBS) turut menunjukkan minat meletakkan calon.

Parti Liberal Demokratik (LDP) juga dikatakan berminat, namun tiada pengumuman rasmi dibuat sehingga kini, manakala PAS sudah mengumumkan tidak akan bertanding.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mei depan sebagai tarikh pengundian dan 7 Mei untuk pengundian awal, manakala 27 April sebagai tarikh penamaan calon. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *