Kejamnya kamu guru, rakan

GAMBAR kiri, keadaan Nusrat ketika terlantar di hospital sebelum meninggal dunia. – Agensi

SEORANG remaja perempuan mati minggu lalu, selepas lima hari dirawat di hospital akibat dibakar hidup-hidup oleh sekumpulan penyerang berikutan mangsa berkeras enggan menarik balik dakwaan cubaan merogol terhadap pengetua sekolahnya di Dhaka, Bangladesh.

Menurut Dhaka Tribune, remaja itu dikenali sebagai Nusrat Jahan Rafi, 18, meninggal dunia 10 April lalu, lima hari selepas dimasukkan ke hospital dalam keadaan 80 peratus tubuhnya melecur.

Siasatan polis mendapati mangsa disimbah minyak sebelum dibakar di atas bumbung sekolahnya di Sonagazi oleh sekumpulan penyerang berselubung pada 6 April lalu kerana enggan menarik balik dakwaan cubaan merogol terhadap pengetua sekolah dikenali sebagai Sirajuddaula.

Kejadian itu mencetuskan kemarahan rakyat Bangladesh yang melakukan protes secara besar-besaran di seluruh negara, malah Perdana Menteri Sheikh Hasina mengarahkan Pusat Perubatan Kolej Perubatan Dhaka (DMCH) menerbangkan mangsa ke Singapura untuk rawatan.

Namun, doktor di Hospital Besar Singapura dan DMCH mendapati keadaan mangsa yang kritikal menyebabkan dia tidak boleh dipindahkan.

Menurut abang mangsa, adiknya yang sempat menceritakan kejadian ketika terlantar di hospital, memberitahu dia dipujuk empat individu untuk naik ke bumbung sekolah, kononnya seorang rakan mereka diserang.

“Mereka kemudian mendesak adik saya menarik dakwaan terhadap pengetua. Apabila dia enggan, seorang daripada mereka mencurah petrol pada badannya dan menyalakan api.

“Nusrat berlari turun dalam keadaan api membakar pakaian dan tubuhnya untuk mendapatkan bantuan. Pelajar lain yang melihatnya terus memadam api,” katanya kepada The Daily Star.

Daily Mail melaporkan, Sirajuddaula ditahan dan dipenjara sejak akhir bulan lalu, selepas remaja berkenaan mendakwa lelaki itu cuba merogolnya dalam pejabatnya.

GAMBAR kiri, keadaan Nusrat ketika terlantar di hospital sebelum meninggal dunia. – Agensi

Ketua Biro Siasatan Polis, Banaj Kanti Majumdar berkata, anggota kumpulan terbabit sempat melawat pengetua terbabit di penjara beberapa hari sebelum serangan dibuat.

Menurut Dhaka Tribune, dua pelajar lelaki sekolah berkenaan dikenali sebagai Nuruddin dan Shahadat yang mengaku membakar mangsa dihadapkan ke mahkamah majistret selama sembilan jam semalam untuk direkod keterangan.

Mereka memberi keterangan terhadap 12 lagi, termasuk pemimpin masyarakat tempatan, Presiden Liga Awami Sonagazi yang juga Ahli Majlis Perbandaran Sonagazi, Ruhul Amin dan seorang guru sekolah berkenaan yang terbabit kes itu sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Dalam kenyataannya, Shahadat berkata, dia melarikan diri dari lokasi kejadian selepas membakar Nursat dan menelefon Ruhul yang berkata: “Saya tahu. Kamu semua pergi sembunyi.”

Menurut Shahadat dia bersedia melakukan jenayah itu sebagai membalas dendam kerana Nusrat beberapa kali menolak hasratnya menjalin hubungan mesra sebelum ini.

Siasatan mendapati mereka bertemu Sirajuddaula di penjara bagi menerima arahan untuk membunuh Nusrat. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *