Kerajaan Sabah teruskan usaha hantar balik PATI

Mohd Shafie (kiri) hadir pada Persidangan DUN, Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Sabah di Bangunan DUN Sabah di Kota Kinabalu. – NSTP/Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri meneruskan usaha untuk menghantar pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ada di negeri ini ke negara asal masing-masing seperti yang dilakukan kerajaan sebelum ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata kerajaan juga bekerjasama dan berbincang dengan kerajaan Filipina dalam usaha ini.

“Bukan mudah bekerjasama dengan kerajaan Filipina atau Indonesia, nak membantu supaya mereka (PATI) dihantar menggunakan dokumen tapi itulah usaha kita (hantar balik).

“Kita kena hantar mereka balik tetapi kita juga menghadapi masalah, namun kita beri keutamaan dalam aspek keselamatan.

“Tetapi kita juga sedar dalam perjumpaan dengan sektor peladangan, yang mereka juga memerlukan pekerja. Tapi apa yang saya tekankan kepada pasukan keselamatan, untuk rumah merah (pusat tahanan sementara), jika bukan rakyat Malaysia, mereka perlu dihantar balik, tapi jika kahwin dengan rakyat tempatan ia akan dikendalikan dengan cara lain.

“Tetapi kita teruskan usaha apa yang telah dilakukan (hantar pulang oleh kerajaan lalu) untuk pastikan mereka dihantar balik bukan saja rakyat Filipina tetapi juga Indonesia,” katanya menjawab soalan tambahan Tan Sri Musa Aman (UMNO-Sungai Sibuga) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Mohd Shafie menjawab soalan tambahan Musa bahawa pada kerajaan lalu penghantaran pulang PATI dilakukan setiap bulan dan adakah perkara ini berlaku dalam tempoh sembilan bulan menjadi kerajaan.

Menjawab soalan tambahan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (BERSATU- Apas) bahawa adakah benar maklumat menyatakan masyarakat Pala’u menjadi pemberi maklumat kepada pihak luar, Mohd Shafie berkata jika ada maklumat mengenai itu, wakil rakyat terbabit boleh memaklumkan kepada pasukan keselamatan untuk disiasat.

Terdahulu menjawab soalan Datuk Dr Jeffrey Kitingan (STAR- Tambunan), Mohd Shafie yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri, berkata walaupun penangkapan 12 warga asing dan seorang rakyat tempatan yang disyaki terbabit dalam kumpulan pengganas itu mengejutkan, tetapi keadaan keselamatan negeri pada keseluruhannya masih dalam keadaan terkawal.

“Pihak keselamatan sentiasa berusaha melakukan operasi berteusan ke atas kehadiran elemen militan.

“Isu keselamatan di Sabah turut dipengaruhi situasi keselamatan di selatan Filipina yang mana pergolakan di negara iru turut memberi impak melalui ‘influx’ (kemasukan) penduduk dari negara berkenaan.

“Namun, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) telah dan sentiasa melakukan operasi untuk menghalang kemasukan militan secara agresif seperti Op Coral dan Op Lanyak, selain pertukaran maklumat dan rondaan keselamatan secara bersama di perairan Filipina serta Indonesia,” katanya. – Berita Harian

141