Kerajaan Negeri Nafi Keluarkan Kad Pengenalan Kepada Pekerja Asing; Minta Kerajaan Filipina Buka Pejabat Di Kota Kinabalu

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri meminta agar Filipina membuka laluan untuk mendaftarkan dan mengeluarkan pasport kepada rakyat mereka yang berada di negeri ini.

“Saya tahu dan sedar, kadang-kadang ada orang katakan saya isukan kad pengenalan, surat beranak atau dokumen kepada Pendatang Tanpa Izin (PTI).

“Namun, apa yang kita minta kerajaan Filipina iaitu kalaupun mereka tidak mau membuka pejabat di sini, sekurang-kurangnya ada landasan untuk mendaftar rakyat mereka.

“Itu antara usaha yang sedang dilakukan oleh kerajaan. Bukannya kita memberikan dokumen, kad pengenalan atau surat beranak kepada mereka,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Joniston Bangkuai (PBS-Kiulu) berkenaan jalan penyelesaian kerajaan negeri berkaitan masalah warga asing yang berada di Sabah serta isu pemberian dokumen terhadap PTI dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) ke-15, di sini hari ini.

Dalam isu berkenaan, Mohd Shafie menegaskan bahawa kerajaan negeri tiada kuasa untuk mengeluarkan kad pengenalan kerana ia adalah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Jelasnya rakyat Filipina dan Indonesia yang terdapat di negeri ini diperlukan dalam sektor pertanian, perladangan mahupun pembinaan boleh diberikan permit bekerja namun bukan dokumen untuk menjadi warganegara Malaysia.

“Mungkin kerajaan negeri ada kerjasama dalam hal pendaftaran namun bidang kuasa tidak terletak kepada kita.

“Kita sedari keadaan dan usaha kita mengenal pasti mereka (PTI). Jika perlu, kita dokumenkan.

“Nasihat dan pandangan saya kepada Duta Filipina dan Indonesia, sekiranya mereka mahukan rakyat mereka yang datang ke sini untuk mencari pekerjaan, dokumenkan mereka, isukan pasport kepada mereka kerana mereka bukan rakyat Malaysia,” jelasnya.

Tambahnya walaupun negeri memerlukan tenaga kerja dari negara berkenaan, terutamanya dalam sektor peladangan yang menjadi tulang belakang industri Sabah.

Namun jangan ada tanggapan langsung bahawa kerajaan negeri mengeluarkan kad pengenalan kepada pekerja-pekerja asing. –SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *