Kerajaan negeri disaran laksanakan larangan meludah

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah disaran menguatkuasakan larangan meludah di merata tempat sebagai langkah menghalang penularan penyakit batuk kering atau tibi berikutan jumlah kes yang masih tinggi direkodkan di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Japlin Akim (BERSATU), berkata larangan itu khususnya di kawasan gerai makanan perlu kerana tabiat suka meludah merata-rata berleluasa di lokasi terbabit, khususnya di bandar raya ini.

Beliau berkata, tindakan itu perlu diambil segera bagi mengawal penyakit berkenaan daripada terus merebak di negeri ini.

“Mungkin satu caranya ialah menguatkuasakan larangan meludah merata tempat kerana saya lihat suka meludah merata-rata masih jelas kelihatan di sekitar Kota Kinabalu, terutama di kawasan pasar ikan dan juga gerai makan,” katanya ketika sesi perbahasan ucapan Yang di-Pertua Negeri dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Japlin berkata, berdasarkan rekod Jabatan Kesihatan, sebanyak 5,008 kes tibi dilaporkan di seluruh negeri pada tahun lalu dengan Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi sebanyak 904 kes, diikuti Sandakan (594 kes), Tawau (455 kes), Semporna (388 kes) dan Lahad Datu (387 kes).

Katanya, statistik itu menunjukkan tibi masih berleluasa di Sabah selain turut membabitkan warga asing dengan 12 peratus hingga 13 peratus daripada keseluruhan kes.

Dalam isu lain, beliau meminta supaya klinik baharu dibina di Kampung Kuala Abai bagi menggantikan klinik lama yang ditutup beberapa bulan lalu selain mempercepatkan pembinaan klinik kesihatan di Pulau Mantanani bagi memenuhi keperluan kira-kira 1,000 penduduknya.

Sementara itu, Japli mencadangkan supaya Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), termasuk di Kota Belud yang kini ditutup dijadikan pusat latihan seperti Pusat Latihan MARA, Kolej Politeknik atau pusat latihan lain yang bersesuaian.

“Saya berpendapat penting bagi kita memanfaatkan pusat berkenaan daripada terbiar begitu saja demi mengurangkan kos kerajaan membina pusat latihan yang baharu, sekali gus memberi peluang kepada belia kita mengikuti kursus kemahiran untuk masa depan mereka,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *