Kerajaan akan bina 2,185 rumah PPRT di Sabah Tahun ini

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick. – Foto Facebook Ewon Benedick

KOTA KINABALU: Kerajaan akan membina sejumlah 2,185 rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di bawah program baik pulih dan bina baharu seluruh Sabah tahun ini, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,740 rumah PPRT baik pulih dan 445 PPRT bina baharu akan dilaksanakan di seluruh Sabah oleh agensi-agensi pelaksana di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Persekutuan seperti GiatMara dan Felcra.

“Bagi Fasa 1, sejumlah 225 PPRT bina baharu akan dilaksanakan dan untuk daerah Ranau merangkumi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan, pada tahun ini, akan mendapat 15 PPRT bina baharu dan 50 baik pulih,” katanya dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Datuk Abidin Madingkir (Upko-Paginatan).

Ewon yang juga Adun Kadamaian berkata, PPRT adalah di bawah KPLB Persekutuan dan jumlah rumah PPRT bina baharu yang akan dibina adalah tertakluk kepada peruntukan yang diluluskan oleh KPLB Persekutuan.

“Objektif utama PPRT adalah meningkatkan kualiti hidup keluarga miskin tegar dan miskin dengan membina atau membaik pulih tempat kediaman mereka dengan lebih selamat dan selesa,” jelasnya.

Sementara itu, ketika menjawab soalan lisan Adun Likas Tan Lee Fatt, Ewon berkata KPLB Sabah telah menganjurkan pelbagai program dan aktiviti seperti Karnival Usahawan Desa dan Dialog Usahawan Kecil Desa untuk memberikan maklumat kepada masyarakat mengenai peranan KPLB.

Selain itu, katanya, KPLB juga menyertai pameran-pameran melibatkan keusahawanan desa seperti Hari Peladang, Penternak dan Nelayan, Pesta Kudat, Pesta Gata Sipitang, Regatta Lepa Semporna, Festival Beaufort, Tadau Kaamatan serta pameran lain yang dianjurkan oleh kementerian.

“Pejabat-pejabat daerah di bawah kawal selia pentadbiran KPLB Sabah juga memainkan peranan penting sebagai pusat pentadbiran, perkhidmatan dan kepimpinan, rujukan, maklumat, bantuan, penyelarasan pelbagai program kerajaan, pelaksanaan dasar dan undang-undang serta nadi pentadbiran dan imej kerajaan di peringkat akar umbi khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

“Orang ramai juga boleh melayari laman web kementerian http://www.sabah.gov.my/kplb untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Justeru, rakyat Sabah termasuk di kawasan pedalaman mempunyai akses maklumat kepada peranan dan program yang disediakan oleh KPLB Sabah,” katanya.

Beliau berharap pejabat-pejabat perhubungan wakil rakyat dapat membantu menghebahkan peranan dan program yang disediakan KPLB Sabah.

Bagi menjawab soalan Adun Kundasang Datuk Dr Joachim Gunsalam, Ewon berkata berdasarkan laporan terkini Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS), ladang sawit Mesej Mansalu sudah matang dan boleh dituai yang akan memberi manfaat kepada 23 peserta.

Katanya, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM17.5 juta di bawah Program Jalan Luar Bandar (JLB) untuk menyelenggara jalan perhubungan ke Mesej Mansalu sejauh 4.70 kilometer yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya dan telah siap sepenuhnya.

“Bagaimanapun, projek perumahan untuk kediaman peserta serta kemudahan infrastruktur lain yang berkaitan hanya dapat disediakan tertakluk kepada peruntukan yang tersedia,” katanya. – Utusan Borneo

461