Hampir 1,000 penduduk Kampung Mengkulat dapat manfaat dari projek air-graviti Mercy Malaysia Cawangan Sabah

KOTA BELUD, 14 April — Kanak-kanak Kampung Mengkulat 20 kilometer dari sini membasuh tangan dari air paip graviti sebagai simbolik perasmian Projek Bekalan Air Graviti Kampung Mengkulat sumbangan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia), hari ini. Turut sama, Pengerusi MERCY Malaysia Dr. Anbarasu Ramalingam (dua, kanan). – Foto BERNAMA

KOTA BELUD: Hampir 1,000 penduduk dari 119 keluarga yang mendiami Kampung Mengkulat di sini mendapat manfaat daripada projek air-graviti yang diusahakan oleh pertubuhan bukan kerajaan Mercy Malaysia Cawangan Sabah.

Pengerusinya Dr Anbarasu Ramalingam berkata keseluruhan projek yang berjumlah RM80,000 dibiayai oleh LDS Charity dan Society of Petroleum Engineers (SPE) Cawangan Sabah.

Beliau berkata fasa perancangan projek itu bermula pada tahun 2017 sebagaimana yang dipohon oleh ketua Kampung Mengkulat yang terletak kira-kira 90km dari Kota Kinabalu.

“Projek itu bermula tahun lepas dengan usahasama antara Mercy Malaysia Cawangan Sabah dengan penduduk kampung, yang mengambil masa hampir empat bulan untuk disiapkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian projek air graviti di dewan komuniti di sini hari ini.

Turut hadir ialah wakil LDS Charities, Elder Lyle dan wakil SPE Amirah Zakariah.

Sementara itu Anbarasu turut menjemput semua pertubuhan bukan kerajaan di Sabah untuk mengukuhkan kerjasama dengan Mercy Malaysia Cawangan Sabah bagi meningkatkan akses kepada air bersih dan sanitasi yang baik, terutama buat kampung-kampung yang memerlukan.

Sementara itu, Ketua Kampung Mengkulat, Pindah Periah melahirkan penghargaan kepada Mercy Malaysia cawangan Sabah serta para penyumbang yang membolehkan penduduk kampung itu menikmati bekalan air bersih.

Beliau berkata air graviti yang terletak di kawasan bukit dan mempunyai tekanan kuat membolehkan bekalan air dapat disalurkan ke setiap rumah di kampung itu.

“Sejak kampung itu ditubuhkan pada 1960an, inilah pertama kali kami berpeluang menikmati air tanpa gangguan kerana sebelum ini  hanya bergantung kepada air sungai dan tadahan air hujan,” katanya. – Bernama 

114