Pemimpin BERSATU Hulur Bantuan Kepada 84 Mangsa Kebakaran Di Tawau Lama

TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkesempatan melawat dan memberi sumbangan kepada mangsa kebakaran di Tawau Lama, Jalan Masjid At-Taqwa di sini hari ini.

Seramai 84 mangsa kini ditempatkan di khemah sementara yang terletak di Masjid At-Taqwa sejak tragedi berlaku empat hari lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyampaikan sumbangan wang tunai dan tong gas kepada lapan ketua isi rumah. Gambar SNT/ Nasrawati Syarifuddin

Lapan ketua isi rumah menerima sumbangan berupa tong gas cecair petroleum (LPG) dan wang tunai sumbangan ihsan pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah.

Beliau yang juga Ketua Penaja Parti Bersatu Tawau turut mendapatkan maklumat lanjut daripada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am berhubung bantuan yang diberikan kepada mangsa.

“Alhamdulillah kita hari ini dapat membantu meringankan beban mereka dengan memberi setiap keluarga iaitu satu tong gas dan sedikit wang tunai. Diharap dengan bantuan ini mereka boleh membeli keperluan harian mereka.

“Saya yakin pihak kerajaan pada masa ini sedang berusaha membantu mereka dan saya berharap sekiranya mereka betul-betul tidak mempunyai rumah kediaman yang tetap.

Datuk Nizam Abu Bakar Titingan bergambar bersama mangsa dan ahli parti Bersatu Tawau. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Mereka bolehlah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan rumah dibawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang ada di daerah ini,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa kebakaran.

Sementara itu, seorang ibu tunggal Nurhayati Baharuddin, 42, berharap semua mangsa kebakaran yang ditempatkan sementara di masjid itu mendapat bantuan untuk membina semula rumah mereka.

Sejak kejadian kebakaran itu berlaku, dia tidak dapat meneruskan pekerjaannya sebagai pelayan di salah sebuah restoran di daerah ini kerana perlu menjaga tiga anaknya berusia enam hingga 16 tahun.

“Sekarang ini saya sukar tidur dan tidak dapat pergi kerja. Jadi saya memohon kepada pihak kerajaan untuk membina tempat tinggal kami semula supaya anak-anak saya dapat tinggal di tempat yang selesa dan saya juga dapat meneruskan kerja seperti biasa.

Nizam bertemu dengan salah seorang mangsa kebakaran. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Adun Apas yang hadir pada hari ini kerana sudi meringankan beban kami sekeluarga dengan memberi sumbangan wang tunai untuk membeli keperluan harian kami di sini,”katanya.

Pada 8 April lalu, tujuh rumah musnah dalam kebakaran di Tawau Lama, Lorong Masjid At-Taqwa pukul 9.33 pagi.

Dalam kebakaran itu, empat rumah terbakar 100 peratus, tiga lagi rumah musnah 90, 70 dan 10 peratus.

Bagaimanapun, pihak bomba dan penyelamat berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan lain. –SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *