Mangsa kebakaran Tawau Lama mohon bantuan bina semula rumah

Ahli Dewan Undangan Negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan melihat keadaan tujuh rumah musnah dalam kebakaran di Tawau Lama, Lorong Masjid At-Taqwa pada pada 8 April lalu.

TAWAU, 12 April – Mangsa kebakaran rumah di Tawau Lama, Jalan Pantai di sini, pada Isnin lepas berharap kerajaan dapat membantu membina semula rumah di tapak rumah yang sama.

Seorang mangsa kebakaran yang juga ibu tunggal, Nurhayati Baharudin, 42, berkata selepas musibah berkenaan dia dan tiga anaknya berumur antara enam hingga 17 tahun kehilangan tempat tinggal dan tiada tempat untuk dituju.

“Rumah ini adalah peninggalan arwah suami yang meninggal dunia sejak lima tahun lalu, saya sekarang  tidak tahu mahu buat apa, kami memohon jasa baik kerajaan untuk membantu.

“Saya sendiri tidak tahu mahu tinggal di mana selepas ini, dengan pendapatan bekerja sebagai pelayan restoran, saya perlu menanggung dua anak yang bersekolah di tingkatkan empat dan lima,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan wang tunai dan gas memasak yang disampaikan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan di sini, hari ini.

Seorang lagi mangsa Yeni Raman, 45, turut senada ingin memohon bantuan kerajaan membina semula rumah di tapak lama dan buat masa ini, dia dan suami serta empat anak akan menyewa rumah kerana tiada pilihan lain.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, tujuh rumah di Tawau Lama terjejas termasuk empat hangus dalam kejadian kebakaran yang melibatkan 84 mangsa.

Sementara itu, Nizam yang juga Ketua Penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tawau menyarankan lapan ketua keluarga yang terjejas dengan kebakaran itu agar mengemukakan permohonan mendapatkan rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Tawau.

“Saya yakin mangsa kebakaran ini akan diberi keutamaan jika ada kekosongan,” katanya lagi.

— BERNAMA

200