Jalur gemilang – buatan Vietnam!

APMM menahan bot nelayan bersama tekong dan awak-awak kerana pelbagai kesalahan di perairan Kudat. FOTO/ Ihsan APMM

TAKTIK tiga bot nelayan Vietnam mengibarkan bendera jalur gemilang dan menggunakan nombor pendaftaran tempatan, gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), semalam.

Tiga bot bersama 16 awak-awak termasuk tekong warga Vietnam ditahan di lima batu nautika dari Pulau Tigabu, Kudat oleh bot ronda Maritim dalam satu operasi khas, jam 12.30 tengah hari.

Pengarah Zon APMM Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, semua bot terbabit ditahan selepas disyaki melanggar pelbagai jenis peraturan serta undang-undang Persekutuan dan undang-undang negeri.

“Antaranya tiada dokumen pengenalan diri yang sah, dokumen pasport tidak mempunyai rekod pergerakan keluar masuk daripada Jabatan Imigresen Malaysia, melangkaui batas perairan dan gagal melaporkan pertukaran nakhoda kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.

“Selain itu, tiada pelepasan pelabuhan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta pelbagai kesalahan lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pemeriksaan juga mendapati dua bot yang ditahan memiliki nombor pendaftaran yang sama dan disyaki bot klon. Ini adalah kes keempat yang berjaya ditahan di perairan Kudat

menggunakan modus operandi yang sama.

“Kita syak ada sindiket tertentu yang bertanggungjawab terhadap kegiatan jenayah ini. Siasatan secara terperinci dan menyeluruh akan dijalankan bagi mengesan sindiket serta pelaku jenayah ini.

“Kita tidak akan berkompromi dengan perompak hasil laut negara,” katanya.

Beliau berkata, jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM 1.7 juta.

“Semua nelayan berusia 20 hingga 40 tahun. Bot ditahan dan diiring ke Jeti Awam Kudat serta diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63, Akta Kastam 1967, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002 atas pelbagai kesalahan,” katanya. – Harian Metro

98