Sabah bincang dengan Sarawak isu pindaan perlembagaan

KETUA Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika sidang media mengenai isu mengembalikan semula status Sabah dan Sarawak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, hari ini. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Sabah akan bekerjasama dengan Sarawak untuk mencapai persefahaman dan sokongan bagi mengembalikan status kedua-dua negeri sebagai rakan kongsi dalam Malaysia selepas pindaan Perlembagaan Persekutuan gagal mendapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, semalam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata beliau akan berhubung dengan rakan sejawat di Sarawak untuk mengkaji semula perkara itu dan memastikan usaha itu dicapai.

“Ini akan mengambil satu lagi usaha untuk dibawa ke Parlimen pada masa akan datang. Saya harap kita dapat meneruskannya dan terus berjuang untuk apa yang dipersetujui pada 1963.

“Ini adalah langkah pertama selepas lebih 50 tahun (untuk mengembalikan semula status Sabah dan Sarawak) dan langkah pertama ini juga kita tidak dapat melakukannya. Sudah pasti, kita perlu mendengar pendapat mereka mengenai keperluan untuk melakukan pindaan… kami tidak menyatakan ini (pindaan Rang Undang-Undang kepada Perkara 1(2) Perlembagaan) sudah mencukupi.

“Perjuangan itu akan berterusan dan jika ada keperluan untuk pindaan selanjutnya, Sabah akan menyokong,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini, hari ini.

RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019, tidak dapat diluluskan di Dewan Rakyat semalam, kerana kerajaan gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen untuk meminda Fasal 2 Perkara 1 Perlembagaan.

Seramai 138 daripada 221 wakil rakyat menyokong pindaan itu, dengan 59 orang berkecuali.

Seramai 46 Ahli Parlimen membahaskan usul berkenaan. RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 tidak boleh diteruskan untuk bacaan kali ketiga kerana tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga.

Mengenai sama ada beliau fikir Sarawak sebagai pembangkang, sedang bermain politik dan tidak mahu Pakatan Harapan (PH) mendapat pujian untuk usaha itu, Mohd Shafie berkata: “Saya tidak menyatakannya… kita akan terus bekerjasama dengan mereka,” katanya.

Mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), berkata beliau sudah berbincang dengan DAP mengenai calon yang berpotensi untuk mewakili kerusi berkenaan.

“Kita akan umumkan calon kepada media pada masa yang sesuai. Saya sudah berbincang dengan (Lim Guan Eng) kelmarin dan akan umum apabila tidak masanya,” katanya.

Mengenai sama ada calon sudah diputuskan, beliau hanya menjawab `ya’.

“Kami sudah berbincang dan insya-Allah kami akan umumkannya,” katanya.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt pada 28 Mac lalu. – Berita Harian

270