Lelaki Kurang Siuman Maut Dilanggar Lari

Keadaan mangsa yang dilanggar lari. Gambar SNT/Ihsan Polis

PAPAR: Seorang lelaki kurang siuman maut dipercayai dilanggar lari di Kilometer 9 Jalan Lama Papar-Kota Kinabalu pada Selasa malam.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata mangsa yang juga orang tempatan berumur 40-an meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Ketika kejadian kira-kira pukul 8.40 malam itu, mangsa sedang berjalan kaki di sekitar lokasi kejadian sebelum dirempuh sebuah kenderaan lalu tidak sedarkan diri.

“Kira-kira pukul 9.05 malam, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar menerima maklumat pertama daripada kenderaan Unit Peronda Polis (MPV) berkenaan berlaku satu kemalangan jalan raya langgar lari.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa kereta peronda MPV membuat rondaan di kawasan Kampung Nagapas Papar telah melihat susuk tubuh manusia di tepi jalan. 

“Anggota MPV terus membuat pemeriksaan dan mendapati mangsa adalah seorang lelaki orang kurang siuman yang dipercayai hendak melintas jalan telah dilanggar oleh sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenalpasti. 

“Mangsa telah meninggal dunia sejurus kemalangan berlaku akibat pendarahan yang berlaku di bahagian kepala mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, menurut waris mangsa mengatakan bahawa mangsa sememangnya kurang siuman dan selalu kelihatan berjalan-jalan di kawasan Pekan Papar dan kampung-kampung sekitar Papar. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu dan merbahaya. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *