Syarikat Pelaburan Korea Cadang Bina Bandar Perubatan Di Sabah

Pengerusi Kumpulan REI Holding Incorporation, Hong Soon Bong (empat dari kiri) bersalaman dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (empat dari kanan) pada pertemuan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di Kota Kinabalu.

Kota Kinabalu: Sabah bakal mengalami lonjakan dalam pelancongan perubatan dengan pembinaan sebuah bandar perubatan yang dicadangkan di negeri ini.

Syarikat Korea Selatan, REI Holding Group yang telah meninjau beberapa tempat lain di negara ini, berharap cadangan projek bandar penjagaan kesihatan itu dapat dilaksanakan di Sabah.

Pengerusinya, Hong Soonbong berkata, sebaik siap, projek itu akan menjadi pemacu utama untuk menarik lebih ramai pelancong asing ke negeri ini.

“Terdapat perbezaan nyata antara pelancongan biasa dan pelancongan perubatan apabila kita bercakap mengenai ekonomi bagi negeri ini,” katanya selepas kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di sini, Khamis.

“Dari segi sumber, persekitaran semula jadi dan perniagaan, kami percaya setakat ini bahawa Sabah menawarkan persekitaran paling berdaya maju untuk projek kami.

”Beliau berkata, kos sebenar projek akan berbeza-beza bergantung pada lokasi di mana ia akan dilaksanakan.

“Secara purata, ia akan menelan kos kira-kira US$400 juta – US$500 juta,” katanya.

Menyatakan mereka belum menerokai negeri ini sepenuhnya, Hong berkata mereka jatuh cinta dengan Sabah dan “ia adalah tempat yang berpotensi besar.

”Setelah siap, projek itu akan menampilkan sebuah hospital beroperasi sepenuhnya yang dilengkapi dengan pusat perubatan pencegahan yang canggih, dan lebih 40 jabatan perubatan.

Bagaimanapun, Hong mendedahkan bahawa mereka tidak dapat muktamadkan masa tepat untuk memulakan projek itu kerana mereka masih dalam proses rundingan dengan kerajaan. – Harian Ekspres

129