Polis siasat pemilik akaun FB hina Ketua Menteri Sabah

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

SANDAKAN: Polis sedang mengesan pemilik akaun Facebook yang menghina Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Ia susulan laporan dibuat seorang lelaki yang mengadu gambar miliknya dimuat naik di laman sosial berkenaan oleh pemilik akaun ‘Som bin Poton’ dengan ayat berbaur menghina Ketua Menteri yang juga Presiden WARISAN pada 26 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata polis juga mendapatkan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan pemilik akaun FB berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, polis ingin menghubungi seorang individu dengan nama Tumik Aik, 53, yang beralamat di Rancangan Sungai Manila, Batu 12, Sandakan serta Kampung Penangah, Kinabatangan untuk membantu siasatan.

“Kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya. – Berita Harian

193