Terminal Feri Penumpang Tawau kini dilengkapi penghadang gelombang bernilai RM19.6 juta

Gambar Facebook Page BESTAWAUfm

TAWAU, 4 April – Terminal Feri Penumpang Tawau kini dilengkapi kemudahan skrin penghadang gelombang sepanjang 181.2 meter yang bernilai RM19.6 juta, khusus bagi menjamin keselamatan pengguna.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony berkata tujuan utama pembinaan projek oleh Lembaga Pelabuhan Pelabuhan Sabah itu adalah bagi memastikan keselamatan para penumpang ketika naik atau turun daripada feri sentiasa terpelihara.

“Penghadang ini memberi ruang yang luas untuk feri keluar-masuk terminal dengan pergerakan operasi feri merapat dan belayar keluar serta menunggu untuk merapat ke poonton, dapat dilindungi dengan adanya penghadang gelombang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis perasmian projek penghadang gelombang untuk Terminal Feri Penumpang itu di sini, menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Abdul Muis Picho.

Projek itu dimulakan pada 23 Febuari tahun lepas dan siap sepenuhnya pada 19 Disember dengan keupayaan mengurangkan siltation dan impak gelombang, sekaligus dapat menghindar kerosakan poonton daripada gelombang besar atau ombak besar ketika musim tengkujuh.

Peter dalam pada itu berkata pembinaan kemudahan itu membuktikan kerajaan negeri sentiasa berusaha menyediakan pembangunan infrastuktur terbaik kepada penduduk di Sabah.

Terminal Feri Penumpang Tawau adalah antara mercu tanda daerah ini yang menjadi pintu keluar masuk Malaysia-Indonesia sejak beroperasi pada 5 Disember 2016, dan ia mampu mengendalikan lapan feri dengan kapasiti 1000 penumpang pada satu masa.

Selain itu, terminal ini juga dijadikan sebagai Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS), sekali gus dapat memantau perjalanan penumpang membabitkan laluan Tawau-Nunukan, Indonesia serta Tawau-Tarakan, Indonesia.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *