Frankie Poon galas 2 portfolio menteri

FRANKIE Poon Ming Fung

TIMBALAN Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung diberi kepercayaan memikul tanggungjawab menjaga Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah berikutan kematian menterinya, mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt, Khamis lalu.

Frankie Poon yang juga Menteri Belia dan Sukan negeri dalam satu kenyataan hari ini berkata, beliau dilantik Kabinet negeri bagi memegang jawatan baharu itu sehingga berlaku perubahan kelak.

Berikutan pelantikan itu, Frankie Poon kini menggalas dua portfolio menteri, mewakili DAP Sabah.

Pagi tadi, beliau menghadiri sesi penerangan dan mesyuarat di pejabat kementerian baharunya.

Semua yang hadir pada mesyuarat itu turut bertafakur selama seminit bagi memperingati mendiang Stephen Wong selaku bekas menteri di kementerian berkenaan.

Yang turut hadir ialah Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Norazlinah Arif; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Janet Chee Ken Liam dan ketua jabatan serta agensi di bawah kementerian.

Stephen Wong yang juga Ahli Parlimen Sandakan dan Pengerusi DAP Sabah meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (QEH), Kota Kinabalu, Khamis lalu. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *