Sabah, Sarawak dan speaker berselisih mengenai RUU pinda perlembagaan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak hari ini berselisih dengan Speaker Mohamad Ariff Md Yusof selepas rang undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 berkaitan pemulihan hak-hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan pertama.

Wakil-wakil rakyat Sabah dan Sarawak berkata RUU itu sepatutnya dibawa ke jawatankuasa pemilih terlebih dahulu sebelum dibentangkan.

Maximus Ongkili (PBS-Kota Marudu) berkata pindaan itu terlalu penting kerana mungkin satu-satunya pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk Sabah dan Sarawak menjadi rakan setaraf Tanah Melayu.

“Ini bukan pindaan biasa,” katanya. “Implikasinya meluas dari segi undang-undang dan perundangan yang perlu dipinda.”

Wan Junaidi Tuanku Jaafar (GPS-Santubong) berkata perkara itu masih boleh dibawa ke jawatankuasa pemilih, dan bertegas wakil-wakil rakyat sepatutnya diberi notis 24 jam sebelum RUU itu dibawa ke Dewan Rakyat.

Beliau menggesa Dewan Rakyat untuk tidak meredahkan RUU itu.

Wakil-wakil rakyat lain, termasuk Nancy Shukri (GPS-Batang Sadong) dan Bung Moktar (BN-Kinabatangan) juga membantah dan berkata ia membabitkan hak-hak Sabah dan Sarawak.

Speaker berulang kali meminta semua supaya bertenang dan berkata mereka boleh membentangkan usul jika berhasrat untuk membantah RUU itu.

Ismail Sabri (BN-Bera) bangun dan berkata RUU itu hanya mengandungi 2 baris, dan pindaan itu “tiada makna”.

“Tuntutan ahli-ahli Parlimen lebih daripada ini. Sepatutnya mempunyai lebih banyak tentang MA63,” katanya.

Speaker bagaimanapun berkata semua prosedur dipatuhi kerana notis RUU itu “diberi semalam”. Beliau berkata sebarang bantahan boleh dibangkitkan semasa bacaan kedua.

Putrajaya bersetuju untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan bagi memastikan pembangunan setanding antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada sidang media kemudian berkata Perlembagaan tidak menjelaskan status Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai 3 entiti.

Beliau berkata pindaan pada Perlembagaan memerlukan majoriti 2/3 Dewan Rakyat.

Ditanya sama ada beliau yakin ia akan mendapat majoriti secukupnya, Mahathir berkata sukar jika wakil rakyat Sabah dan Sarawak menolaknya. – FMT

179